Berita Utama

Lapor pada PAID jika ada pegawai masjid yang enggan vaksin

Pentadbir masjid belum vaksin dilarang kendali solat jemaah

BANGI, 6 Rabiulawal 1443H, Rabu – Pegawai atau pentadbir masjid di Selangor tidak dibenarkan mengendalikan pelaksanaan solat Jumaat dan fardu lima waktu sekiranya belum menerima suntikan vaksin COVID-19.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, penguatkuasaan itu turut melibatkan pegawai atau pentadbir surau kebenaran solat Jumaat dan musolla di negeri ini.

“Pihak terlibat juga tidak dibenarkan mengendalikan sebarang aktiviti pengimarahan lain sekiranya masih belum mengambil suntikan vaksin.

“Pihak pengurusan juga perlu melantik imam, bilal atau siak yang telah lengkap divaksin sebagai penganti sepertimana diarahkan oleh ulil amri (pemerintah),” katanya menerusi kemaskini di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zawawi berkata, sekiranya terdapat mana-mana pegawai atau pentadbir masjid atau musolla yang masih enggan mengambil suntikan vaksin, maka laporan hendaklah dibuat kepada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).

September lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), pegawai masjid dan jurunikah yang masih berdegil enggan menerima suntikan vaksin COVID-19 bakal berdepan kemungkinan tidak dibenarkan untuk meneruskan tugas.

Baginda menzahirkan rasa dukacita berikutan terdapat dalam kalangan golongan itu yang memilih untuk tidak mahu divaksin kerana didakwa membahayakan diri sendiri dan orang ramai.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata, pentadbir masjid dan surau juga hendaklah sentiasa memberi peringatan secara berkala kepada setiap jemaah untuk mematuhi prosesur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Pihak terlibat juga perlu melaksanakan proses disinfeksi secara berkala pada setiap waktu solat Jumaat, fardu dan program pengimarahan,”ujarnya.

Dalam masa sama, pihak pentadbir dinasihatkan tidak melaksanakan sebarang aktiviti pengimarahan yang belum dibenarkan.

“Pihak pengurusan juga perlu melaporkan sebarang pelanggaran SOP yang berlaku melibatkan para jemaah sewaktu menunaikan solat dan mengikuti program pengimarahan yang dilaksanakan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button