Berita Utama

‘3 kali Agong ulangi titah buka Parlimen, ini satu sejarah’

Jangan pula ada parti ambil kesempatan kaut keuntungan politik

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 19 Zulkaedah 1442H, Rabu – Kerajaan perlu mengambil serius titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin bagi menangani isu dasar awam dan masyarakat ketika ini.

Semalam, Al-Sultan Abdullah sekali lagi menitahkan persidangan Parlimen segera diadakan, selain menzahirkan pandangan bahawa semua Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Parlimen ke-14 hendaklah meneruskan sesi mesyuarat untuk pelaksanaan mekanisme semak dan imbang.

Seri Paduka bertitah demikian bagi membolehkan Proklamasi Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, titah itu melambangkan keresahan Seri Paduka terhadap kesukaran yang sedang dihadapi rakyat waktu ini.

“Ini kali pertama Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan tiga kenyataan menggesa untuk sidang Parlimen diadakan segera, tetapi masih belum mendapat respon konkrit daripada kerajaan. Ini satu sejarah.

“Kali pertama dalam sejarah juga, sekitar 300 rakyat bertindak bunuh diri dan 60 peratus dikatakan orang Islam,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, situasi ketika ini membuktikan suatu yang serius sedang melanda negara, dan bukan hanya krisis pandemik atau ekonomi semata-mata.

Atas sebab itu, rakyat semakin gelisah dan meminta kerajaan segerakan persidangan Parlimen supaya  membantu menyelesaikan masalah menimpa negara.

“Bagaimanapun, janganlah pula ada parti-parti politik yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan politik, tetapi fokuslah kepada menyelesaikan masalah rakyat.

“Pelbagai cadangan yang telah dikemukakan oleh segala pihak bijak pandai dan rakyat marhaen dalam menyelesaikan isu COVID-19, harap kerajaan dapat mempertimbangkan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button