Berita Utama

AKSEM dibubarkan, tugas diambil alih PDRM

Penstrukturan AKSEM ke dalam PDRM dilaksana secara berfasa

KUALA LUMPUR, 19 Zulkaedah 1442H, Rabu – Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) yang ditubuhkan pada Disember 2017 dibubarkan dan tugas-tugas agensi berkenaan diambil alih sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata tugas-tugas berkenaan dipertanggungjawabkan di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenterawam Awam iaitu Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Mac lepas telah bersetuju dengan cadangan rasionalisasi AKSEM menerusi penstrukturan semula serta diletakkan di bawah PDRM. Selain itu, Akta AKSEM 2017 (Akta 799) akan dimansuhkan setelah proses penstrukturan ini dilaksanakan.

“Pelaksanaan penstrukturan semula AKSEM ke dalam PDRM akan dilaksanakan secara berfasa mulai hari ini sehingga 30 September tahun ini,” katanya dalam sidang media majlis penyerahan tugas AKSEM kepada PDRM di Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau berkata penstrukturan semula AKSEM merangkumi aspek peranan, penyerahan aset, penjajaran semula perjawatan dan sumber manusia serta pengurusan kewangan dan perolehan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button