Berita Utama

BPR Tambahan dibayar secara berperingkat hari ini

Manfaatkan 8.4 juta penerima dengan peruntukan berjumlah RM2.1 bilion

BANGI, 19 Zulkaedah 1442H, Rabu – Bayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Tambahan akan dibuat secara berperingkat mulai 30 Jun membabitkan peruntukan berjumlah RM2.1 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pembayaran bantuan itu memanfaatkan 8.4 juta penerima meliputi 3.6 juta isi rumah, 1.0 juta warga emas dan 3.8 juta individu bujang.

Katanya, pembayaran akan terus dikreditkan ke dalam akaun bank penerima mulai hari ini sehingga 2 Julai.

Bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank termasuk di Sabah dan Sarawak, pembayaran dibuat melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN), di mana panduan prosedur operasi standard (SOP) akan dikeluarkan dari semasa ke semasa.

“Mengambil kira pembayaran Fasa 1, Fasa 2 dan BPR Tambahan, bantuan tunai yang disediakan sehingga ini kepada hampir 8.4 juta penerima adalah sebanyak RM6.78 bilion, manakala jangkaan pembayaran Fasa 3 pula pada September 2021 dianggarkan berjumlah RM2.32 bilion.

“Secara keseluruhannya, peruntukan berjumlah RM9.1 bilion telah disediakan oleh kerajaan bagi pelaksanaan BPR yang telah dan akan disalurkan kepada golongan B40,” katanya.

Zafrul berkata, kerajaan sentiasa komited memastikan bantuan yang diperuntukkan sampai kepada mereka yang disasarkan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, kerajaan turut berharap bantuan tunai itu akan meringankan beban golongan B40 terutamanya mereka yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menerusi pembayaran BPR Tambahan, isi rumah berpendapatan RM2,500 ke bawah menerima bantuan RM500, bagi isi rumah berpendapatan RM2,501 hingga RM5,000 pula mendapat RM300.

Sementara, RM100 disalurkan kepada warga emas berpendapatan RM5,000 ke bawah dan individu bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button