Berita Utama

Budaya politik ‘jatuh-menjatuh’ bukan matlamat perjuangan Islam

Wakil rakyat perlu bersama beri sokongan moral kepada PM

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 13 Zulkaedah 1442H, Rabu – Senario politik ‘jatuh-menjatuh’ yang berlaku sekarang ini sangat menyimpang daripada matlamat sebenar perjuangan politik dalam Islam – agama yang lengkap dan sempurna menyeru ke arah suatu bentuk naungan jaminan survival masyarakat dalam sesebuah negara.

Kesal dengan situasi itu, Ketua Pemuda Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Pusat, Ustaz Fahmi Bazlan Muda berkata, seharusnya idea ataupun sikap yang tidak wajar ini segera dibanteras daripada terus menerajui kepimpinan negara.

Beliau menegaskan, kepimpinan yang terbaik mempunyai matlamat jelas, agenda tersusun serta usaha berterusan bagi memelihara kesejahteraan negara dan seterusnya memacu ke arah menjamin masa depan untuk tanah air, rakyat dan bangsa khusus umat Islam sebagai masyarakat majoriti.

“Saya benar-benar kecewa melihat situasi yang berlaku sebelum ini, sedangkan sikap yang harus diambil sebagai pimpinan yang mewakili amanat rakyat adalah bersama dan bersatu mengembleng tenaga, mencurah idea, memberikan sokongan moral kepada kepimpinan Perdana Menteri.

“Khususnya dalam berdepan dengan pelbagai krisis yang sedang melanda negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pergolakan dalaman membabitkan pucuk pimpinan UMNO.

Mengulas lanjut, Ustaz Fahmi mendakwa, keputusan terdahulu – pemimpin UMNO – benar-benar menjejaskan kestabilan program pemulihan negara, sekali gus membuka ruang kepada usaha berterusan daripada pihak berkepentingan yang ingin melihat kerajaan Melayu Islam terus lemah dan gagal dalam mengurus negara.

Bagaimanapun beliau berkata, situasi kali ini adalah sangat positif kerana arus perjuangan beragenda yang cuba digerakkan oleh sebahagian daripada pimpinan UMNO, berjaya mengembalikan majoriti Ahli Parlimen mereka ke landasan perjuangan yang lebih meletakkan nasib serta masa depan negara dan rakyat.

“Syabas dan tahniah kepada kepimpinan UMNO yang sedar dan kembali memberikan sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button