Dunia

Indonesia pertimbang sekatan kecemasan tangani lonjakan kes COVID-19

Kadar penggunaan hospital capai 72 peratus, didakwa mungkin lebih tinggi

JAKARTA, 19 Zulkaedah 1442H, Rabu – Indonesia sedang mempertimbangkan sekatan pergerakan kecemasan dalam usaha menangani lonjakan kes jangkitan COVID-19, kata Presiden, Joko Widodo. 

Jokowi berkata, pihaknya akan menyelesaikan mengenai perkara itu hari ini ekoran peningkatan mendadak kes jangkitan di negara berkenaan. 

Katanya, pihak berkuasa mempertimbangkan untuk mengekalkan sekatan yang lebih ketat selama seminggu atau dua minggu, tanpa menyatakan bila ia akan berkuat kuasa. 

Indonesia melaporkan 21,807 kes COVID-19 pada Rabu dengan 467 kematian. Negara itu melaporkan kes jangkitan lebih 20,000 sejak beberapa hari lalu, susulan gelombang baharu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri. 

Kerajaan telah memperketatkan beberapa kawasan yang disenarai sebagai ‘zon merah’ sejak minggu lalu, tetapi pakar kesihatan menanggap langkah itu belum mampu menghentikan penyebaran wabak. 

Jokowi berkata, kadar penggunaan katil hospital di seluruh negara juga mencecah 72 peratus, namun pihak berkuasa tempatan mendakwa jumlahnya lebih tinggi ekoran unit kecemasan sudah dipindahkan di khemah luar hospital. 

“Saya meminta semua berhati-hati dan jangan lalai. Jangan hanya membincangkan mengenai ekonomi, sementara kita tidak melihat aspek kesihatan,” kata Jokowi.

Beliau sebelum ini menolak gesaan pakar kesihatan supaya melaksanakan sekatan sepenuhnya, dan menyatakan bahawa langkah itu akan ‘membunuh’ ekonomi negara. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button