Berita Utama

Polis tahan wanita hina laungan azan, masjid

4 laporan diterima polis terhadap kenyataan Facebook JULIA JJ II

BANGI, 19 Zulkaedah 1442H, Rabu – Padah menghina laungan azan dan masjid di laman sosial Facebook baru-baru ini, seorang wanita ditahan pihak polis malam tadi.

Ketua Polis Daedah Seberang Perai Tengah, Shafee Abd Samad berkata, suspek yang juga seorang tukang urut berusia 26 tahun tampil menyerah diri pada jam 11.30 malam tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

Beliau berkata, sebanyak empat laporan diterima pihak polis berhubung kenyataan dimuat naik suspek, yang mendatangkan ketidakpuasan hati orang Islam di negeri itu.

“Pengadu yang berada di rumahnya di sebuah pangsapuri di Perai pada 5.18 petang ternampak satu kenyataan menghina laungan azan.

“Terdapat juga kenyataan tanda pagar yang menghina masjid yang dimuat naik individu menggunakan nama Facebook ‘JULIA JJ II’,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Shafee menyifatkan tindakan suspek seperti tidak menghormati sensitiviti agama serta kaum dan tindakan tegas perlu diambil ke atasnya.

Suspek tiada rekod jenayah lampau dan dua telefon bimbit kepunyaannya dirampas untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button