Berita Utama

RM6.03 juta untuk bantu golongan terkesan COVID-19 di Pahang

Bantuan akan diberikan menerusi pengagihan bakul makanan

KUANTAN, 13 Zulkaedah 1442H, Rabu – Kerajaan negeri Pahang mengumumkan peruntukan RM6.03 juta bagi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 fasa tiga kepada golongan sasar yang terkesan dengan pandemik COVID-19, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata bantuan itu akan diberikan menerusi pengagihan bakul makanan dan antara penerimanya ialah nelayan berdaftar, operator dan pekerja kantin serta dewan makan asrama sekolah dan penjaja tidak berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Bantuan kali ini juga ialah tambahan kepada bantuan telah disalurkan sebelum ini menerusi pusat khidmat Dewan Undangan Negeri bagi menampung keperluan mereka yang sangat terkesan dengan COVID-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pengumuman fasa tiga BPP COVID-19 itu menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan yang dikeluarkan kerajaan negeri bagi tujuan berkenaan berjumlah RM23.13 juta, dengan fasa pertama bernilai RM7.8 juta pada 24 Mei lepas.

Fasa pertama melibatkan penerima daripada golongan miskin tegar, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas berusia lebih 80 tahun yang juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Manakala fasa kedua melibatkan peruntukan RM9.3 juta dengan antara golongan sasar ialah pengusaha bot, pemandu pelancong, operator dan pekerja kantin harian sekolah, penyedia perkhidmatan penghantaran dan pemandu e-hailing.

Turut menerima manfaat fasa dua yang diumumkan pada 4 Jun lepas ialah Orang Asli, penduduk kampung, veteran tentera dan pesara polis. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button