Berita UtamaDunia

Roboh rumah: Zionis rancang bina taman pelancongan di sekitar Al-Aqsa?

Ugut penduduk roboh kediaman, kedai sendiri jika enggan bayar denda

BAITULMAQDIS, 19 Zulkaedah 1442H, Rabu – Negara pengganas Israel merobohkan sebuah kedai daging dan menyerang penduduk Palestin ketika menyerbu kawasan kejiranan al-Bustan di Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

Al-Bustan adalah salah satu kawasan kejiranan Palestin yang terletak di selatan kota tua Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa, yang mana kediaman di sana berdepan ancaman perobohan Israel untuk membuka jalan bagi projek peneroka haram.

Pemilik kedai daging yang musnah, Nidal al-Rajabi mendakwa, pasukan Israel telah memukul penduduk dengan belantan, selain menahan anak dan abangnya – di antara lain yang ditahan.

Middle East Eye melaporkan, pihak berkuasa Israel meminta Rajabi untuk merobohkan kedainya sendiri jika tidak mahu membayar kos kenderaan polis dan jentolak yang akan melakukan perobohan itu sebanyak AS$100,000 (RM415,000).

Rajabi berkata, dia tidak menyesal menolaknya dan telah menyelamatkan barang dagangan kedai, termasuk daging dan telur bersama peralatan, sebelum jentolak Israel merobohkan kedai itu.

“Sebaliknya, saya gembira kerana saya tidak melakukannya. Saya meminta anak-anak saya untuk datang dan melihat bagaimana pendudukan (Israel) memusnahkan (harta benda) jadi mereka tahu bukan saya yang merobohkannya, tetapi penjenayah yang melakukannya,” katanya.

Israel mempunyai pelan besar untuk wilayah selatan Masjid al-Aqsa dan kota tua, berhasrat membangunkan rangkaian taman pelancongan di kawasan kejiranan al-Bustan, Silwan, Wadi al-Rababa, Batn al-Hawa dan Wadi Hilweh.

Sebanyak 20 keluarga Palestin yang tinggal di 17 kediaman di al-Bustan menghadapi arahan perobohan Israel.

Awal pagi semalam, 40 kenderaan polis Israel dan jentolak mengepung serta menutup pintu masuk ke al-Bustan untuk merobohkan kedai Palestin kononnya dibina tanpa permit.

Pasukan Israel melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah ke arah penduduk, sementara bantahan lain tercetus di kawasan kejiranan Batn al-Hawa dan Bir Ayoub, lapor agensi berita rasmi Palestin, Wafa.

Bulan Sabit Merah Palestin melaporkan 13 cedera di kalangan penduduk Palestin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button