Berita Utama

9.1 juta pelanggan TNB nikmati diskaun bil elektrik di bawah PEMULIH

Diskaun antara lima hingga 40 peratus akan dinikmati 7.4 juta pengguna domestik

KUALA LUMPUR, 20 Zulkaedah 1442H, Khamis – Seramai 9.1 juta pelanggan domestik dan bukan domestik Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Semenanjung Malaysia akan mendapat manfaat diskaun secara bersasar di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Menerusi kenyataan hari ini, TNB memaklumkan pemberian diskaun antara lima hingga 40 peratus akan dinikmati 7.4 juta pengguna domestik.

Selain itu, diskaun 5 peratus kepada pengguna elektrik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah kategori tarif komersial, industri dan pertanian spesifik di bawah voltan rendah akan memberi manfaat kepada 1.6 juta pelanggan syarikat utiliti itu.

“Diskaun sebanyak 10 peratus kepada pengguna elektrik dalam enam sektor perniagaan terpilih di bawah inisiatif PEMERKASA Plus pula melibatkan 11,800 pengguna. Di bawah Pakej PEMULIH, kesemua enam sektor ini akan terus menerima 10 peratus diskaun sehingga 31 Disember ini, seperti yang dimaklumkan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin),” menurut kenyataan itu.

Enam sektor terlibat ialah pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, kompleks membeli-belah, pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan.

TNB turut menyatakan pengguna elektrik di Semenanjung akan terus menikmati rebat Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) 2 sen per Kilowatt jam (kWj) dari Julai hingga Disember ini.

Menurut TNB, bagi kedua-dua kategori pelanggan domestik dan PKS, pengiraan Diskaun Bil Elektrik PEMULIH adalah berdasarkan jumlah penggunaan bulanan dari 1 Julai hingga 30 September 2021.

“TNB sedang mengambil langkah yang perlu bagi memastikan pelaksanaan diskaun ini berjalan dengan lancar. Oleh itu, pelanggan akan melihat diskaun ini tertera dalam bil elektrik bertarikh 15 Julai 2021.

“Bagi pelanggan yang menerima bil bertarikh antara 1 hingga 14 Julai ini, diskaun bulan Julai 2021 akan dimasukkan ke dalam bil bulan Ogos 2021,” katanya.

Syarikat itu memaklumkan pelanggan yang menerima bil sepanjang Julai ini akan menikmati diskaun mengikut bilangan hari penggunaan dalam bulan itu dengan diskaun diberikan selepas mengambil kira rebat ICPT .

Katanya, diskaun akan mula dinikmati sepenuhnya dalam bil Ogos dan September 2021. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button