Berita UtamaDunia

Bali, Jawa diisytihar darurat mulai 3 Julai

Indonesia catat kes COVID-19 terburuk di Asia Tenggara

JAKARTA, 20 Zulkaedah 1442H, Khamis – Indonesia mengumumkan sekatan aktiviti awam (PPKM) darurat di pulau utamanya, Jawa, dan juga destinasi pelancongan di Bali bermula 3 hingga 20 Julai 2021.

Pengumuman oleh Presiden Joko Widodo itu dibuat ketika negara itu memerangi penularan wabak dan peningkatan yang membimbangkan dalam kes COVID-19.

Indonesia baru-baru ini mencatatkan dua juta kes COVID-19, disebabkan peningkatan perjalanan percutian dan varian Delta.

Keputusan PPKM darurat dikenakan setelah mempertimbangkan pandangan pelbagai pihak, termasuk menteri, pakar kesihatan, hingga pemimpin daerah.

Jokowi mengatakan, PPKM darurat akan membataskan pelabagai aktiviti masyarakat secara lebih ketat.

Sekatan itu dilaksanakan dua minggu bagi tujuan mengurangkan jumlah kes hingga di bawah 10,000 sehari.

Indonesia kini mencatat lebih 20,000 kes baru setiap hari.

Namun, pakar memberi amaran, jumlah kes berpotensi jauh lebih tinggi, kerana ujian saringan COVID-19 yang dilakukan sangat tidak mencukupi di luar Jakarta.

Di bawah peraturan baharu, semua kakitangan yang bekerja untuk perniagaan tidak penting harus bekerja dari rumah, dan pembelajaran jarak jauh akan dilaksanakan di seluruh sekolah.

Pusat membeli-belah, tempat beribadah dan kemudahan rekreasi awam seperti taman juga akan ditutup, dengan makan malam dilarang.

Perniagaan termasuk industri kesihatan, keselamatan dan tenaga dianggap penting dan akan dibenarkan beroperasi pada kapasiti 100 peratus. 

Sementara yang lain seperti perkhidmatan kewangan, yang dianggap mustahak, boleh berfungsi dengan kapasiti 50 peratus.

Indonesia mencatatkan kes COVID-19 terburuk di Asia Tenggara, dengan sekitar 2.1 juta kes positif dan 57,000 kematian setakat ini.

Setiausaha Agung Persatuan Palang Merah Indonesia, Sudirman Said berkata, hospital kekurangan bekalan oksigen dan hospital di Bogor, Jawa Barat, juga kini terlalu padat.

“Kami telah mendirikan khemah kecemasan di hospital untuk menampung lebih banyak pesakit, sementara ramai lagi yang terpaksa menempuh perjalanan berjam-jam untuk mengakses rawatan perubatan penting,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button