Berita Utama

‘Burnout’ mungkin ancaman kluster baharu

Tak perlu lindungi 'kluster kayangan' yang undang ketidakpuasan hati masyarakat

BANGI, 20 Zulkaedah 1442H, Khamis – Ramai tidak mempedulikan keluhan warga perubatan terhadap individu melanggar peraturan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sering diutarakan melalui media sosial.

Profesor Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara, Prof Datuk Dr Ismail Sualman berkata, mereka sebenarnya penat dan diuji dengan pelbagai kerenah dan persoalan.

Ini ditambah pula dengan pemimpin yang sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat juga culas dan melanggar SOP.

Perkara itu tidak sepatutnya dibiarkan dan hukuman kepada semua pihak yang melanggar arahan perlu adil, katanya.

“Tidak perlu melindungi ‘kluster kayangan’ yang mengundang ketidakpuasan hati masyarakat.

“Jika masyarakat masih keluar, kilang beroperasi secara curi-curi atau sistem dan arahan berubah-ubah, maka ‘burnout’ dialami petugas kesihatan mungkin akan bertambah teruk.

“Kita perlu terima hakikat ketabahan dan kesabaran juga ada tahap serta had hingga burnout mungkin menjadi ancaman atau kluster baharu pada masa akan datang,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Beliau berkata, burnout ditafsirkan sebagai keletihan fizikal dan mental.

Katanya, kajian terhadap 893, warga kesihatan mendapati 53.8 peratus mengalami burnout berkaitan hal periadi, manakal 39.1 peratus disebabkan pekerjaan sekali gus mengundang simpati ramai.

“Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, antara faktor burnout dalam kalangan warga kesihatan adalah bebanan tugas tinggi dan ketidakpastian tempoh pandemik panjang.

“Juga disebabkan pertukaran dan proses adaptasi pelbagai prosedur operasi standard (SOP), rancangan kerjaya terganggu dan kesulitan mengimbangkan keluarga dengan kerjaya.

Jelasnya, sindrom burnout dikaitkan dengan keletihan emosi dan permintaan berlebihan serta kekurangan daya hidup.

Pada masa sama, beliau berkata, kelebihan mental berlebihan dan kronik menyebabkan pesakit hilang semua minat dalam pekerjaan dan kehidupan peribadi serta prestasi hampir terjejas sepenuhnya.

“Ini masalah motivasi dan minat tinggi pada awalnya, namun disebabkan banyak kekecewaan atau harapan salah. Penyakit ini jika tidak dikawal dan menjadi semakin buruk, boleh mengakibatkan pesakit bunuh diri.

“Hakikatnya, warga perubatan juga mempunyai keluarga dan anak terkesan dengan rutin serta cara bekerja berhadapan risiko tinggi. Burnout juga mungkin berlaku kepada barisan hadapan lain sama ada polis atau tentera ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Warga perubatan juga terpaksa bertugas di pusat pemberian vaksin (PPV) dalam kempen vaksinasi di seluruh negara. Sebagai ayah yang juga mempunyai anak dalam bidang perubatan, saya menyaksikannya mengalami kepenatan dan burnout sehingga kurang masa untuk bersama anak selepas pulang bekerja,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button