Berita UtamaDunia

Kejatuhan pelancongan beri impak kerugian KDNK global lebih RM16.62 trilion

Keruntuhan ekonomi tertumpu di negara kadar vaksinasi rendah

GENEVA, 20 Zulkaedah 1442H, Khamis – Kejatuhan sektor pelancongan antarabangsa akibat COVID-19 boleh menyebabkan kerugian lebih dari AS$4 trilion (RM16.62 trilion) Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global untuk tahun 2020 dan 2021, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Laporan bersama Pertubuhan Pelancongan Dunia PBB (UNWTO) dan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) mendapati, kekurangan vaksinasi yang meluas di negara-negara membangun menyebabkan kerugian ekonomi meningkat.

Kekurangan pelancong telah menyebabkan kelompongan sebanyak AS$2.4 trilion (RM9.97 trilion) dalam sektor pelancongan dan sektor berkaitan tahun lalu, dan laporan itu memberi amaran kerugian sama mungkin berlaku tahun ini bergantung kepada pengedaran vaksin COVID-19.

Setiausaha Jeneral UNWTO, Zurab Pololikashvil berkata, vaksinasi diperlukan untuk melindungi masyarakat, termasuk menyokong sektor pelancongan dan penting bagi pemulihan pekerjaan dan penjanaan sumber yang diperlukan. 

Beliau menyatakan bahawa banyak negara membangun sangat bergantung pada pelancongan antarabangsa.

Wabak COVID-19 menyebabkan perjalanan udara antarabangsa terhenti hampir sepanjang tahun lalu kerana banyak negara enggan membenarkan perjalanan tidak penting.

Kedatangan pelancong antarabangsa menurun sekitar 1 bilion, atau 73 peratus, tahun lalu, sementara pada suku pertama 2021 penurunan sekitar 88 peratus, kata laporan itu.

Ia menyatakan bahawa negara membangun telah mengalami penurunan terbesar dalam kedatangan pelancongan tahun lalu, dianggarkan antara 60 peratus hingga 80 peratus.

Dengan kadar vaksinasi COVID-19 yang sangat tidak sekata – dengan beberapa negara telah memberi suntikan kurang dari satu peratus populasi mereka, sementara yang lain telah mencapai 60 peratus – keruntuhan ekonomi akan tertumpu di negara-negara dengan kadar vaksinasi yang rendah.

Laporan mendapati ‘pemberian vaksin yang tidak simetrik meningkatkan ‘pukulan’ ekonomi yang dialami oleh sektor pelancongan di negara-negara membangun, kerana mereka menyumbang hingga 60 peratus dari kerugian KDNK global.

Walaupun sektor pelancongan dijangka pulih lebih cepat di negara-negara dengan kadar vaksinasi yang tinggi, seperti Amerika Syarikat, UNWTO tidak menjangkakan pelancongan antarabangsa akan kembali ke tahap pra-pandemik hingga 2023 paling awal.

Peningkatan pelancongan antarabangsa dijangka berlaku pada separuh kedua tahun ini, tetapi laporan UNCTAD masih menunjukkan kerugian antara $1.7 trilion dan $2.4 trilion pada tahun 2021, berbanding dengan tahap 2019.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button