Berita Utama

‘Kenduri durian’: Langgar SOP, tiada siapa kebal undang-undang

Polis siasat, jadi kita tunggu laporan: Ismail Sabri

BANGI, 20 Zulkaedah 1442H, Khamis – Isu video ‘kenduri durian’ membabitkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang tular baru-baru ini perlu ditentukan oleh pihak polis.

Bagaimanapun, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, tiada sesiapa kebal daripada undang-undang dan boleh terlepas daripada tindakan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jadi setiap isu yang berkaitan dengan sesiapa sahaja, mereka tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang kerana tidak ada orang yang mempunyai kekebalan di negara ini.

“Tetapi untuk tindakan adalah daripada polis yang perlu siasat, jadi kita tunggu laporan polis,” katanya dipetik Astro Awani hari ini.

Difahamkan, 11 individu telah dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kenduri durian yang membabitkan Mohd Rashid di kebun durian Batu Pahat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, Ahli Parlimen Batu Pahat itu juga akan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat bagi memberi kenyataan.

Beliau itu dijangka akan hadir minggu ini sebaik balik dari Kuala Lumpur.

Sebelum ini, tular video berdurasi 13 saat memaparkan Mohd Rashid bersama sekumpulan individu tanpa penjarakan sosial sedang makan durian di sebuah kebun.

Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menyatakan ia adalah video lama, sebelum memohon maaf atas kekhilafannya berkait penjelasan berkenaan video tular dijamu durian baru-baru ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button