Berita Utama

‘Sekolah tak perlu mohon kelulusan terima sumbangan’

Hang Soon sindir Kor Ming tak baca surat khabar sebar khabar angin

BANGI, 15 Zulkaedah 1443H, Rabu – Datuk Dr Mah Hang Soon menegaskan, Kementerian Pendidikan (KPM) tidak pernah mengeluarkan arahan pihak sekolah perlu terlebih dahulu memohon kelulusan Jabatan Pendidikan sebelum menerima sebarang sumbangan.

Justeru, Majlis Pengurusan Sekolah Cina di setiap Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga tidak perlu memohon sebarang kelulusan dari Jabatan Pendidikan.

Berikutan itu, Timbalan Menteri Pendidikan menyindir Nga Kor Ming tidak membaca surat khabar sehingga tidak mengetahui mengenai kenyataan yang telah dikeluarkan oleh KPM berhubung perkara itu.

“Pengarah Jabatan Pendidikan (setiap negeri) dengan jelas mengesahkan tidak pernah mengeluarkan arahan yang dimaksudkan,” katanya seperti dilapor China Press pada 14 Jun lalu.

Hang Soon berkata, dua minggu lepas, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Jabatan Pendidikan Pulau Pinang yang didakwanya telah meminta SJKC memohon kelulusan terlebih dahulu sebelum menerima sebarang sumbangan.

“Sebaik sahaja saya mengetahui tentangnya, saya terus menghubungi Pengarah Pendidikan Pulau Pinang. Di samping itu, Timbalan Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng juga turut mendapatkan penjelasan dari jabatan pendidikan itu.

“Tan Teik Cheng juga telah membidas kenyataan Steven Sim See Keong itu tidak berasas. Laporan tentang kenyataannya telah disiarkan pada 5 Jun,” katanya.

Hang Soon berkata, politik kotor yang diamalkan Nga Kor Ming bukannya taktik baharu.

Menurutnya, sebagai seorang peguam Nga Kor Ming tidak sepatutnya membuat dakwaan kononnya beberapa buah SJKC telah mengesahkan perkara itu tanpa sebarang asas melainkan cakap-cakap sahaja.

“Sila tunjukkan muka depan surat rasmi yang dikeluarkan jabatan pendidikan,” tegas beliau.

Katanya lagi, Guru Besar SJKC di Pulau Pinang telah mengesahkan perkara itu tidak pernah berlaku, namun Kor Ming mendakwa beberapa buah SJKC telah mengesahkan kesahihan perkara ini.

Oleh itu, jika Kor Ming gagal menunjukkan bukti hitam putih, ia boleh dianggap sebagai fitnah terhadap KPM dan sengaja menyebarkan khabar angin.

“Nga Kor Ming sepatutnya menggunakan masanya berusaha menunaikan janji hak milik tanah kekal kepada penduduk kampung baru di Perak. Bukannya sengaja menimbulkan masalah bagi menutup masalah yang melanda dirinya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button