Berita UtamaTarbiyah

Syurga, reda Tuhan: Bertentangan, saling melengkapi?

‘Al-ijlal wa al-mahabah' martabat agungkan, geruni Allah SWT

BARU-BARU ini ada seorang mesej saya secara peribadi mengenai satu kata-kata yang agak popular juga di kalangan orang kita yang menyatakan bahawa sepatutnya beribadah mencari redha Allah, bukan mencari syurga atau takut neraka.

2. Kemudian dilanjutkan lagi hingga memperlihatkan seolah-olah meminta Allah syurga dan menjauhkan diri dari neraka adalah suatu kesalahan pula.

3. Saya nyatakan jika begitu, ia bertentangan dengan nas Al-Quran, Sunnah bahkan Ijmak para ulama serta Qiyas yang menuntut kita bersungguh-sungguh ke syurga, dalam masa yang sama mengharapkan keredhaan-Nya.

4. Orang yang berpandangan begini hakikatnya tidak memahami tabiat beragama, dan tidak memahami perjalanan hati menuju tuhan.

5. Hakikatnya, mencari redha Allah tidak pernah bertentangan dengan mendambakan syurga-Nya, kerana Allah hanya meredhai ahli syurga.

6. Jika yang dimaksudkan adalah kemahuan kepada Tuhan itu lebih tinggi darjatnya berbanding nikmat tuhan, maka itu adalah kenyataan yang diterima dan tiada siapa khilaf terhadapnya.

7. Ini kerana secara mudahnya hati manusia dalam bab takut dan harap kepada Allah mempunyai martabat dan tahapan tertentu.

8. Martabat pertama adalah martabat takut kepada neraka dan berharap kepada syurga. Martabat ini adalah martabat kebanyakan orang beriman dalam melaksanakan ibadah dan ubudiyah di hadapan Tuhan.

9. Martabat yang lebih tinggi daripada itu adalah martabat ‘al-ijlal wa al-mahabah’ iaitu tahap mengagungkan dan menggeruni Allah SWT.

Tahapan ini lebih tinggi kerana ia tidak berinteraksi dengan balasan dan ganjaran, tetapi berinteraksi secara langsung dengan tuhan.

10. Bagi orang yang tidak memahami tabiat iman manusia yang turun naik, akan mudah menyalahkan pihak yang tidak sekumpulan dengannya, hingga dikatakan kononnya beliau sudah mencapai martabat yang kedua, lalu mencela orang di martabat pertama kerana tidak cukup ikhlas dan amalan orang materialistik.

11. Dia mungkin lupa bahawa dia sebelum ini melalui martabat pertama juga, bahkan lebih menyedihkan lagi dengan celaannya itu sendiri mengakibatkan beliau ke martabat sifar.

Ini kerana sikap takabburnya terhadap orang lain menghilangkan nilai tawajjuh tuhan dalam diri mereka.

12. Orang yang dekat dengan tuhan akan sentiasa merasakan kerendahan dan kekerdilan dirinya kerana sentiasa dibandingkan dengan kebesaran dan keagungan Tuhannya.

13. Orang yang rapat dengan tuhan cukup merahmati dan ihsan terhadap manusia kerana dia cukup memahami jiwa manusia yang berbolak balik dan mempunyai perjalanannya yang tersendiri.

14. Dia cuba seboleh mungkin untuk bersifat dengan sifat Tuhan Yang Maha Penyayang dan cuba memberi peluang kepada mereka yang masih belum memulakan perjalanan.

15. Jauh sekali dia nak menentukan posisi hati seseorang dengan tuhan, apatah lagi mencela dan merendahkan amalan orang lain.

16. Jika dia mendakwa dirinya mencapai martabat tertentu hingga merasakan dirinya sudah cukup hebat, saya lebih khuatir bahawa hakikatnya dia bukan meniti jalan perhambaan, tetapi meniti anak tangga syaitan.

17. Kesimpulannya, orang yang benar akan melihat suatu perkara dengan gambaran yang sebenar dan letak duduk suatu perbincangan, orang yang bercelaru akan mudah haru-biru.

Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa
Penolong Setiausaha Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button