Berita Utama

1,878 aduan diterima babit isu majikan tak benar BDR

Pekerja ‘non-essential’ di kawasan PKPD tak dibenar ke tempat kerja

KUALA LUMPUR, 21 Zulkaedah 1442H, Jumaat – Sebanyak 1,878 aduan diterima Kementerian Sumber Manusia menerusi aplikasi Working for Workers (WFW) membabitkan isu majikan tidak membenarkan pekerja bekerja dari rumah (BDR), antara 23 Mei hingga semalam.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan memaklumkan, Selangor merekodkan jumlah tertinggi dengan 696 aduan diikuti Kuala Lumpur (505), Johor (196) dan Pulau Pinang (123).

Katanya, dari 1 Jun hingga semalam, sejumlah 59 kompaun berkaitan ketidakpatuhan kapasiti kehadiran pekerja ke pejabat dan tempat kerja dikeluarkan agensi penguatkuasaan di bawah kementerian seperti Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“Kementerian menerima banyak aduan daripada pekerja mengatakan diugut majikan untuk hadir bekerja dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka diberhentikan kerja.

“Oleh itu, jika pekerja masih diarahkan oleh majikan untuk hadir ke tempat kerja, aduan boleh disalurkan kepada kementerian menerusi aplikasi WFW,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain kategori aduan BDR, beliu berkata, aplikasi itu turut mempunyai 16 kategori aduan lain membabitkan isu buruh. 

“Kita sentiasa memberi perhatian terhadap aduan diterima dan tindakan sewajarnya akan diambil kementerian,” katanya.

Selain itu, beliau menegaskan, pekerja bukan dalam perkhidmatan perlu atau ‘non-essential’ tidak dibenarkan keluar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk ke tempat kerja.

“Dengan pelaksanaan PKPD di Selangor dan Kuala Lumpur bermula 3 Julai, kementerian akan mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan mengikut akta berkaitan.

“Kita menyeru supaya majikan mematuhi SOP PKPD ditetapkan sebagai langkah bersama bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button