Berita UtamaPendapat

Bendera putih simbol kepercayaan masyarakat masih prihatin

Pertolongan diberi adalah satu 'proses' semai rasa persaudaraan, kestabilan masyarakat

BENDERA putih adalah simbol kepercayaan kepada masyarakat, dan ukuran kefahaman ‘fardu kifayah’ dalam umat Islam

Dalam mengharungi zaman kesusahan akibat dilanda wabak COVID-19 ini, suatu kempen telah dianjurkan oleh masyarakat awam untuk memberi satu alternatif dan jalan keluar kepada mana-mana peribadi atau keluarga yang berkeperluan dalam menampung perbelanjaan kehidupan mereka.

Saya melihat ia adalah simbol kepada kepercayaan bahawa:

1. Masyarakat masih prihatin dan boleh membantu mereka.

2. Tindakan itu bukanlah suatu yang aib atau memalukan, bahkan masyarakat tidak sekali-kali akan merendah-rendahkan mana-mana pihak yang meminta bantuan.

3. Kehidupan peribadi dan keluarga mereka merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial yang dipikul bersama oleh masyarakat.

Situasi ini boleh dilihat sebagai satu bentuk kayu ukur bagaimana masyarakat memahami kerukunan hidup bermasyarakat, dan bahawa mereka saling memerlukan satu sama lain.

Konteks fardu kifayah dalam perihal ini terzahir dalam beberapa sudut;

1. Keperluan sesuatu keluarga untuk terus hidup, jika tidak mampu disara oleh ketua keluarganya, ia perlu ditampung oleh pihak lain yang berwajib, bersesuaian dengan konsep takaful (saling bantu membantu) yang ada dalam Islam.

Dalam kes bendera putih ini, tingkatan kewajipan bermula dari pihak berautoriti, dan disokong pula oleh jiran tetangga sebagai sistem sokongan yang wujud.

Ini kerana pihak berkuasa bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat yang berada di bawahnya, dalam masa yang sama konsep jiran tetangga yang disarankan oleh Islam akan menjadi sebagai satu sistem sokongan bagi menampung keperluan-keperluan mereka jika tidak tertampung oleh pihak berwajib.

2. Keluarga yang berkeperluan tidak patut dilihat sebagai pihak ‘bawahan’ yang menadah tangan, tetapi mereka patut dilihat sebagai ‘tempat untuk melakukan pahala dan kewajipan’.

Di sini kita patut fahami bahawa apabila ada pihak yang meminta bantuan, yang memberi bantuan tidak seharusnya memandang rendah atau merasa terhutang budi, ini kerana ‘permintaan pertolongan’ daripada pihak yang berkeperluan adalah salah satu ‘proses’ untuk menyemai rasa persaudaraan dan kestabilan masyarakat itu sendiri.

Jadi saya mencadangkan agar kempen mengibarkan bendera putih perlu dilihat dalam aspek yang lebih positif dan membina, serta mereka perlu memahami bahawa agama memang menuntut kita untuk hidup sebagai satu umat, satu komuniti, dan satu jasad.

Nabi SAW bersabda: “Perumpamaan bagi orang mukmin dalam kasih sayang mereka dan keprihatinan mereka, ibarat sebuah jasad. Apabila salah satu anggota tubuh mengadu sakit, seluruh jasad akan turut merasai kesakitannya samada dengan berjaga malam atau demam” – Hadis Sahih Riwayat Muslim

Wallahua’lam bissawab.

Ustaz Syamil Esa
Pengarah Sekretariat
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button