I-Medik syor 5 solusi isu lantikan jawatan kontrak KKM
Cadang sebuah jawatankuasa bebas ditubuhkan bagi tujuan penilaian

BANGI, 21 Zulkaedah 1442H, Jumaat – Kerajaan perlu memperhalusi isu membabitkan pegawai perubatan dan kakitangan kontrak Kementerian Kesihatan (KKM) yang hangat dibincangkan kebelakangan ini.
Sehubungan itu, Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) mencadangkan lima solusi untuk dipertimbangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta KKM dalam menyelesaikan isu berkenaan.
Presidennya, Prof Dr Azizi Ayob berkata, langkah drastik perlu diambil dalam menangani isu lantikan perjawatan kontrak membabitkan semua pekerja sektor kesihatan dan perubatan awam, selain mengambil kira kebajikan mereka serta ahli keluarga yang terlibat.
Ini termasuklah membabitkan pegawai perubatan, pegawai pergigian, pegawai farmasi, jururawat, penolong pegawai perubatan, juruteknologi makmal perubatan, juru X-Ray diagnostik dan penolong pegawai kesihatan persekitaran.
“Mengkaji semula terma-terma lantikan kontrak yang sedia ada, memperbaiki dan memberikan kemudahan kenaikan gaji dan manfaat yang sama dengan sektor swasta seperti sumbangan KWSP, caruman PERKESO dan perlindungan insurans pekerja (Employee Insurance Scheme).
“Membuka peluang kerjaya latihan kepakaran (HLP) yang sama rata tanpa menghadkan status tetap atau lantikan kontrak perjawatan KKM dan mengiktiraf laluan kerjaya alternatif selain yang sedia ada,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut mengesyorkan kerajaan memberi insentif industri profesional kepada mana-mana organisasi syarikat atau institusi yang memberi peluang pekerjaan berkaitan profesion berkenaan tanpa menjejaskan peluang melanjutkan kepakaran di laluan kerjaya alternatif yang ada ada di Malaysia pada masa kini.
Katanya, kerajaan juga digesa membuka semula peluang lantikan tetap pakar di hospital-hospital di bawah KKM, walaupun individu itu berada di luar sistem kementerian ketika melanjutkan kepakaran mereka.
“Saranan-saranan ini pastinya menuntut penilaian semula kepada sistem kesihatan negara yang merupakan nadi utama kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.
“Sebarang perubahan seharusnya mengambil kira faktor kelestarian sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan yang adil dan menyeluruh buat semua rakyat Malaysia,” katanya.
Pada masa sama, I-Medik turut mencadangkan sebuah jawatankuasa bebas diwujudkan membabitkan pihak-pihak yang bertanggungjawab dan berkepentingan bagi tujuan penilaian.
Dr Azizi berkata, pihaknya terbuka untuk menyuarakan saran dan bekerjasama dengan kerajaan serta mana-mana pihak bagi memperbaiki sistem kesihatan negara ke arah lebih baik.