Berita Utama

Polis benar pergerakan individu ada janji temu vaksin, perubatan

Hanya tiga orang termasuk pemandu dalam satu kenderaan

KUALA LUMPUR, 21 Zulkaedah 1442H, Jumaat – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membenarkan pergerakan penduduk di lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk urusan perubatan atau vaksinasi.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, jumlah penumpang yang dibenarkan dalam satu kenderaan adalah tiga orang termasuk pemandu.

Beliau berkata, individu tersebut hanya perlu menunjukkan janji temu di aplikasi MySejahtera, laman sesawang, kad janji temu atau mesej pesanan ringkas (SMS) kepada petugas di lapangan.

“Bagi kes-kes kecemasan seperti sakit dan kematian, kebenaran pergerakan akan diberikan secara case to case basis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Di samping itu, orang ramai turut diajak untuk bersama-sama memainkan peranan dalam usaha kerajaan bagi melandaikan lengkuk penularan wabak COVID-19.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan PKPD dilaksana di beberapa mukim di Selangor dan lokaliti tertentu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selama 14 hari bermula esok sehingga 16 Julai depan.

Selain itu, PKPD juga dilaksanakan di beberapa lokaliti di Pahang, Melaka, Sabah serta sebuah kilang dan dua asrama pekerja di Perak.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button