Berita Utama

Tiada cuaca panas luar biasa berlaku di Malaysia

Negara kini pada pertengahan fasa monsun barat daya: METMalaysia

BANGI, 21 Zulkaedah 1442H, Jumaat – Malaysia tidak terjejas dengan fenomena cuaca panas dan gelombang haba seperti yang berlaku di Kanada serta Amerika Syarikat (AS), menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

Justeru, Ketua Pengarah METMalaysia memberitahu rakyat supaya tidak bimbang kerana negara kini berada pada pertengahan fasa Monsun Barat Daya yang dijangka berakhir pada September 2021.

Dalam tempoh ini, METMalaysia menjangkakan suhu yang lebih rendah daripada biasa pada Julai kerana disebabkan oleh peralihan daripada fasa La Nina kepada ENSO Neutral.

Malah, METMalaysia juga menjangkakan taburan hujan normal mulai Ogos.

“Oleh itu, jabatan tidak menjangkakan suhu luar biasa panas akan berlaku di Malaysia pada tahun ini.

“Malah, jabatan juga tidak menjangkakan kejadian jerebu rentas sempadan yang serius dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran terkini melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial dan talian hotline METMalaysia bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Kanada dan barat laut AS sedang mengalami cuaca panas serta gelombang haba dengan catatan rekod sehingga 47.9 darjah Celcius dan 46.6 darjah Celcius sehingga menyebabkan ratusan maut.

Cuaca panas yang berlaku itu disebabkan oleh sistem tekanan udara tinggi hampir statik iaitu bergerak sangat perlahan di kawasan tersebut akibat daripada keragaman iklim.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button