Berita Utama

Zahid Hamidi panggil MP UMNO tandatangan tarik diri dari PN?

Cadang 1 usul tarik sokongan dari kerajaan sebelum 1 Ogos

BANGI, 21 Zulkaedah 1442H, Jumaat – Ahli Parlimen UMNO didakwa dipanggil secara berperingkat untuk mendapat perakuan bersama bagi meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum 1 Ogos.

Utusan Malaysia yang memetik sumber mendakwa, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan bercadang mengemukakan satu usul kepada Ahli Majlis Tertinggi supaya parti itu menarik sokongan dari kerajaan dalam masa terdekat.

Menurut laporan akhbar itu, lebih 10 Ahli Parlimen yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dipanggil bertemu Ahmad Zahid, Mohamad dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan di Pejabat UMNO.

Sumber mendakwa, tindakan pucuk pimpinan memanggil Ahli Majlis Tertinggi secara berperingkat kerana kekangan waktu yang tidak boleh mengadakan sebarang mesyuarat.

“Jadi mereka telah memanggil beberapa MT (Majlis Tertinggi) untuk menyatakan persetujuan. Kalau setuju bermakna mereka perlu tandatangan dengan cadangan itu.

“Ada yang tidak bersetuju sebab nak menjayakan cadangan Majlis Kerja Tertinggi ini adalah Ahli Parlimen. Kalau Ahli Parlimen tidak tarik sokongan dari kerajaan PN, bermakna keputusan MT itu tidak ada kesan,” katanya.

Akhbar itu berkata, tindakan pucuk pimpinan UMNO bertentangan dengan kenyataan Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang menegaskan parti itu akan kekal dengan PN sehingga Ogos ini susulan pandemik COVID-19 yang masih sukar dibendung.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button