Berita Utama

Bendera putih: Kempen patut bantu rakyat jadi ‘tunggangan’ politikus

Tinggalkan pemimpin politik ambil kesempatan atas kesusahan rakyat

BANGI, 22 Zulkaedah 1442H, Sabtu – Menyedihkan apabila terdapat sebilangan ahli politik yang mengambil kesempatan ‘menunggang’ gelombang kempen bendera putih yang digerakkan rakyat ketika ini.

Sedangkan, kempen bendera putih adalah salah satu inisiatif rakyat dalam usaha mendapatkan bantuan untuk mereka yang benar-benar memerlukan, kata Setiausaha Majlis Ulama ISMA (MUIS), Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi.

Namun, beliau kesal apabila ada dalam kalangan ahli politik yang menjadikan kempen itu sebagai kepentingan politik pihak tertentu.

“Mereka mengerahkan mobiliti jentera parti (untuk memasang bendera putih) bagi meraih ‘political mileage’.

“Malah, ada pula ahli politik yang menentang kempen ini seakan-akan menongkah arus pihak lawan politiknya sekali pun ia pada hakikat boleh menjadi salah satu mekanisme bagi memudahkan ahli politik itu sendiri untuk menyampaikan bantuan kepada kawasan Parlimen dan DUN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Oleh itu, Prof Ahmad Sanusi menyarankan supaya meninggalkan ahli-ahli politik yang suka mengambil kesempatan di atas kesusahan rakyat.

“Mereka seharusnya sedar bahawa tugas pemimpin adalah membantu mereka, bukan mengambil kesempatan bagi kepentingan politik tersendiri.

“Pada hakikatnya, kepompong politik semakin lama dilihat berupaya untuk menyukarkan kepentingan rakyat.

“Ahli politik seakan menilai sesuatu berdasarkan kerangka pemikiran parti politik terdahulu sebelum meletakkan keutamaan rakyat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button