Berita Utama

Keluarga Gaza tidur sebilik mahu ‘syahid’ bersama

'Di badan sentiasa ada 1 beg kecil, siap semua dokumen'

BANGI, 22 Zulkaedah 1442H, Sabtu – Setiap keluarga di wilayah Gaza, Palestin tidur di bilik sama kerana mahu pergi atau meninggal dunia bersama-sama.

Perkara itu dikongsikan pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew menerusi Facebooknya, ketika membina Cultural Exhibition of Heroism and Sacrifice di Gaza.

Beliau berkata, galeri atau muzium itu dibina bagi mengingatkan kembali peristiwa yang berlaku di wilayah itu, termasuk berapa ramai yang menderita akibat kezaliman terhadap negara itu sejak sekian lama.

Dalam perkongsian sama, Ustaz Ebit Lew berkata, media di wilayah itu turut dihapuskan demi menutup kezaliman dan mengelakkan keadilan ditegakkan.

Katanya, golongan wanita dan kanak-kanak juga menderita dan mati syahid akibat daripada kezaliman itu.

“Keturunan yang telah dihapuskan terus. Tiada sesiapa keluarga yang tinggal. Penjara terbesar di dunia. Mereka bagai dipenjara.

“Bila-bila masa bom atau nuklear. Di badan sentiasa ada 1 beg kecil dah siap semua dokumen yang boleh dibawa pergi jika berlaku apa-apa. Begitulah hidup mereka,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, Cultural Exhibition of Heroism and Sacrifice itu dibina dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri Palestin dan beberapa kementerian lain.

“Terima kasih Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan wisma Putra. Terima kasih semua yang mendoakan dan bersama dalam misi ini. Semoga menjadi asbab kebaikan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button