Berita Utama

MCA jangan lupa sejarah hitam negara babit pengganas komunis

Kenapa ideologi komunisme jadi pilihan sedangkan banyak parti lain ada dasar lebih baik?

BANGI, 22 Zulkaedah 1442H, Sabtu – MCA diingatkan supaya tidak lupa dengan luka lama yang menjadi sejarah hitam kepada negara membabitkan serangan pengganas komunis.

Justeru, sebarang hubungan berkait dengan komunis atau partinya akan menarik sentimen rakyat khususnya orang Melayu.

Atas sebab itu, ucapan tahniah yang diungkapkan kepada Menteri Jabatan Perhubungan Antarabangsa Parti Komunis China (PKC), Song Tao sempena ulang tahun ke-100 penubuhan parti itu, menimbulkan persoalan dan keraguan terhadap sikap serta pendirian MCA.

Apatah lagi, MCA satu-satunya parti politik di negara ini yang mempunyai hubungan rasmi dengan PKC, kata Yang Dipertua Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Bahagian Sepang, Yudi Kurniawan Budi.

Beliau berkata, MCA dan PKC pernah menandatangani memorandum kerjasama dan pertukaran pada 18 Julai 2014, selain menubuhkan Jawatankuasa Hal Ehwal China MCA serta membentuk Pusat ‘Belt and Road’.

“Sekiranya MCA ingin mempelajari kekuatan struktur politik, mengapa PKC yang mempunyai ideologi komunisme menjadi pilihan, sedangkan ada ratusan parti politik lain di seluruh dunia yang memiliki struktur dan rangka dasar lebih baik.

“Timbalan Presiden MCA, Liow Tiong Lai mendakwa PKC adalah parti yang ‘terbuka dan liberal’ dalam mendekati masyarakat dan kekuatan strukturnya membolehkannya wujud dan berfungsi untuk lebih 90 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Budi berkata, ada parti politik yang lebih terbuka dan liberal telah lama wujud di beberapa negara dengan lebih 100 tahun, bahkan mencecah 200 tahun penubuhannya.

“Jangan lupa, komunis melancarkan perang gerila terhadap pentadbiran kerajaan dengan melakukan kempen-kempen keganasan bertujuan mensabotaj ekonomi Tanah Melayu, sekali gus menanamkan perasaan tidak selamat dalam kalangan penduduk Tanah Melayu.

“Pastinya yang berada di barisan hadapan bagi menghadapi serangan pengganas komunis adalah pasukan polis dan tentera yang majoriti anggotanya orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata, MCA sepatutnya sedar dan berhati-hati dalam memilih rakan kerjasama politik kerana idelogi komunis tidak boleh dibiarkan berkembang di negara yang mengamalkan demokrasi, apatah lagi negara Islam.

“Sebahagian besar orang Melayu di negara ini mempunyai ahli keluarga yang berkhidmat dengan pasukan polis dan tentera di era darurat.

“Walaupun pada mulanya berkhidmat dengan kerajaan British, mereka kemudiannya menyambung dengan kerajaan Tanah Melayu selepas negara mencapai kemerdekaan pada 1957 dan seterusnya pembentukan Malaysia pada 1963.

“Penentangan panjang terhadap pengganas komunis memakan korban yang ramai, tidak sedikit anggota pasukan keselamatan yang kehilangan nyawa, cedera parah dan cacat seumur hidup kerana membanteras gerakan subvesif pengganas komunis di hutan, luar bandar mahupun di bandar,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button