Berita Utama

SPCA Tawau kibar bendera putih, rayu sumbangan urus haiwan terbiar

Perlu sumbangan masyarakat ekoran masalah kewangan dialami

TAWAU, 22 Zulkaedah 1442H, Sabtu – Persatuan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA) Tawau yang mengendalikan lebih 500 anjing dan kucing di pusat perlindungan haiwan di Jalan Kau Sing di sini, mengibar bendera putih bagi merayu sumbangan orang ramai untuk pengurusan haiwan berkenaan.

Sukarelawan SPCA Tawau Lee Shiau Lean berkata pihaknya berdepan kekangan dana kewangan ekoran pandemik COVID-19 ketika ini dan memerlukan sumbangan masyarakat.

“Bendera putih itu terpaksa dikibarkan untuk mendapatkan perhatian orang ramai kerana kami memerlukan dana untuk mengurus lebih 500 ekor haiwan yang ada di sini…sehingga hari ini baki wang yang ada dalam akaun persatuan hanya tinggal RM2,000 dan sudah tentu tidak cukup.

“Mahu bayar upah pekerja kami sahaja mencecah RM4,000 tidak termasuk bayar sewa tapak, makanan, perubatan termasuk bil utiliti…cabaran ketika ini adalah sumbangan yang diterima merosot malah kami pun tidak dapat menjalankan kutipan derma seperti tahun sebelumnya,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Lee berkata setiap sumbangan RM10 dapat digunakan untuk membeli 4 kilogram (kg) beras serta 5.5 kg kepala ayam untuk penyediaan makanan lebih 400 ekor anjing.

“Masalah kewangan ini bermula sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Mac tahun lepas lagi, kos makanan untuk haiwan-haiwan ini mencecah RM300 sehari dan kadang-kadang ada yang memberi sumbangan makanan seperti kepala ayam atau beras,” katanya.

Justeru, Lee mengharapkan sumbangan orang awam untuk menampung dana pengurusan haiwan terbiar itu dan sumbangan boleh disalur terus ke akaun bank 100570010088248 (Alliance Bank Malaysia Berhad).

Orang ramai juga digalakkan untuk mengambil kucing atau anjing daripada SPCA sebagai haiwan peliharaan secara percuma. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button