Berita Utama

GTA janji tebus kembali ekonomi negara jadi Harimau Asia

Tak janji bulan bintang, tapi pastikan kebajikan rakyat dipenuhi

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 15 Rabiulakhir 1444H, Khamis – Gerakan Tanah Air (GTA) menawarkan lima janji utama di dalam manifesto pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bertemakan ‘Agenda Baharu Malaysia’.

Perkara utama dalam lima janji itu, GTA – yang bertanding menggunakan logo Parti Pejuang Pejuang – berhasrat menubuhkan sebuah kerajaan yang berwibawa dan bertanggungjawab sebaik sahaja mendapat mandat rakyat dalam PRU15.

Keduanya, mewujudkan sebuah kerajaan yang bebas dari rasuah.

Janji ketiga, menjadi kerajaan yang berpegang kepada prinsip bersih, cekap dan amanah sebagai teras kepada ke semua lapisan pentadbiran.

Janji keempat pula, akan menebus kedudukan ekonomi Malaysia dan kembali menjadi Harimau Asia manakala kelima menjadi kerajaan yang berprinsip, berintegriti serta mempertahankan kedaulatan undang-undang.

Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pihaknya percaya jika kerajaan yang ditubuhkan berpegang kepada prinsip-prinsip tersebut, kebajikan dan kesejahteraan rakyat akan dapat dipenuhi.

Selain itu, rakyat dari setiap lapisan masyarakat akan mendapat keadilan sewajarnya dan tidak ada keadilan terpilih ataupun kumpulan kayangan yang diberi keistimewaan tanpa gari manakala rakyat biasa digari.

“Kebebasan rakyat sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan akan dihormati sepenuhnya.

“Ini bermakna hak bukan Melayu dan bukan Bumiputera seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan akan dipertahankan.

“Inilah janji kami dan janji ini mampu dan pasti kami penuhi jika diberi peluang mendirikan kerajaan,” katanya secara langsung menerusi Facebook beliau dan Parti Pejuang, malam ini.

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri itu berkata, GTA tidak menjanjikan bulan dan bintang jika menjadi kerajaan.

“Dari pengalaman yang lepas kami mendapati apabila banyak berjanji dan jika janji-janji itu melangkaui keupayaan ianya hampir pasti tidak dipenuhi.

“Jika ianya dipenuhi, ia pasti akan membebankan kerajaan sehingga ada kepentingan awam yang terpaksa diketepi demi memenuhi janji yang dibuat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button