Berita UtamaPendapat

Apakah kedudukan nasihat Jawatankuasa Khas Bebas?

Adakah jawatankuasa akan terus berperanan selepas 1 Ogos?

ASSALAMU’ALAIKUM wrt wbr untuk semua. Saya menulis tentang perkara ini kerana saya telah diminta mengulasnya oleh beberapa orang wartawan, rakan pengamal undang-undang dan rakan pensyarah undang-undang. Pandangan saya adalah pandangan akademik yang tidak diniatkan sebagai nasihat undang-undang kepada mana-mana pihak.

Selamat membaca.

Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 memperuntukkan:

“(1) Maka hendaklah ditubuhkan suatu jawatankuasa khas bebas untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan berikutan wabak penyakit berjangkit, iaitu Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19).

(2) Anggota jawatankuasa khas bebas itu hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong”.

Berikutan dengan peruntukan di atas, pada 9 Februari, dalam kenyataan media Pejabat Perdana Menteri adalah dinyatakan seperti berikut;

“Pejabat Perdana Menteri ingin mengumumkan pelantikan Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang telah diperkenankan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Senarai keahlian jawatankuasa ini adalah seperti berikut:
1. Tun Arifin Zakaria, bekas Ketua Hakim Negara – Pengerusi
2. Tan Sri Samsudin Osman, bekas Ketua Setiausaha Negara
3. Tan Sri Norian Mai, bekas Ketua Polis Negara
4. Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, bekas Panglima Angkatan Tentera
5. Prof. Tan Sri Dr. Mohamad Taha Arif, bekas Ketua Pengarah Kesihatan
6. Tan Sri Dr. Yahya Awang, pakar bedah jantung
7. Tan Sri Ter Leong Yap, Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia
8. Tan Sri Dr. R. Palan, Pro-Canselor Universiti Cyberjaya
9. Dato’ Setia Sallehuddin Saidin, bekas Timbalan Pendakwaraya Pejabat Peguam Negara
10. Prof. Madya Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis
11. Prof. Datu Dr. Andrew Kiyu Dawi anak Usop, pakar kesihatan awam
12. Tan Sri Sukarti Wakiman, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah
13. Tan Sri Noh Omar, Ahli Parlimen Tanjung Karang
14. YB Datuk Sri Rohani Abdul Karim, Ahli Parlimen Batang Lupar
15. YB Datuk Azizah Mohd. Dun, Ahli Parlimen Beaufort
16. YB Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh, Ahli Parlimen Pasir Puteh
17. YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu
18. YB Anthony Loke Siew Fook, Ahli Parlimen Seremban
19. YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor

Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 berperanan untuk menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya.
Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri berperanan sebagai urus setia jawatankuasa ini.
PEJABAT PERDANA MENTERI
9 FEBRUARI 2021”

Menganalisis Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 adalah dapat disimpulkan dua perkara penting:

1. Jawatankuasa Khas Bebas ini bermaksud, jawatankuasa ini bebas untuk mendapatkan apa-apa maklumat daripada mana-mana pihak dan mereka membuat keputusan atau menulis laporan yang bebas daripada campur tangan kerajaan atau eksekutif atau mana-mana pihak. Dengan kata pendek, Jawatankuasa Khas Bebas tidak terikat dengan mana-mana pihak dalam melaksanakan terma lantikan dan membuat keputusan.

2. Ahli Jawatankuasa Khas Bebas dilantik dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong
Tidak banyak maklumat tentang terma lantikan Jawatankuasa Khas Bebas dimaklumkan kepada masyarakat umum. Namun begitu, melihat kepada peruntukan Ordinan dan Kenyataan Media Jabatan Perdana Menteri, kita dapati adalah jelas untuk kita perhatikan bahawa tugas utama Jawatankuasa Khas Bebas ini ialah untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong pada melaksanakan peranan baginda di bawah Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan, iaitu menentukan sama ada wujud atau tidak darurat besar atas sebab keselamatan negara atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam sehingga baginda berpuas hati bagi tujuan memberi perkenan kepada pengisytiharan darurat.

Dengan wujudnya Jawatankuasa Khas Bebas ini ia juga boleh dikatakan sebagai menamatkan peranan Jemaah Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam soal kewujudan berterusan darurat besar. (sekiranya diandaikan baginda membuat pengisytiharan darurat atas nasihat Jemaah Menteri).

Namun, beberapa persoalan masih lagi ada dalam fikiran saya. Antara persoalan tersebut, termasuklah:

1. Apakah maksud frasa “kewujuduan berterusan darurat besar…” Adakah nasihat Jawatankuasa Khas Bebas yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong boleh digunakan oleh baginda selepas tarikh 1 Ogos 2021. Persoalan ini timbul kerana adalah tidak begitu jelas maksud frasa itu, “kewujudan berterusan”, sama ada “berterusan” dalam masa darurat sekarang, iaitu darurat yang sedang berkuatkuasa dari tarikh 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021 sahaja;

Atau, adakah dimaksudkan “kewujudan berterusan” itu dalam jarak masa 11 Januari sehingga juga selepas 1 Ogos. Pada kefahaman saya, nasihat Jawatankuasa Khas Bebas adalah dalam jangka masa sehingga 1 Ogos dan kewujudan berterusan itu bermaksud tidak melangkau 1 Ogos dan nasihat Jawatankuasa Khas Bebas hanyalah untuk meneruskan darurat sehingga 1 Ogos atau disingkatkan atau ditamatkan sebelum 1 Ogos 2021. Bagi tujuan darurat selepas 1 Ogos, ia akan kembali kepada kedudukan asal, iaitu kembali kepada Perkara 150(1) dan tertakluk kepada Perkara 150(3) sekiranya dirungkai oleh Parlimen atau Fasal 150(7).

2. Berkaitan dengan persoalan di atas timbul pula persoalan, adakah Jawatankuasa Khas Bebas akan terus berperanan selepas 1 Ogos? Berdasarkan kepada fakta bahawa darurat yang dimasyhurkan akan tamat pada 1 Ogos, maka Jawatankuasa Khas Bebas ini juga akan berakhir pada 1 Ogos, kecuali dirungkaikan oleh Parlimen selebih awal atau tidak dirungkaikan, tertakluk kepada Perkara 150(7).

Apapun, ia bergantung kepada terma lantikan Jawankuasa Khas Bebas tersebut. Ia mungkin hanya sehingga 1 Ogos. Ini cuma anggapan saya. Adalah lebih mudah untuk membuat keputusan sekiranya kita mendapat maklumat jelas tentang skop jangka masa atau jarak waktu lantikan atau terma lantikan Jawatankuasa Khas Bebas ini. Sekiranya maklumat ini ada baharulah jawapan dapat dimuktamadkan.

3. Persoalan ketiga, adakah Yang di-Pertuan Agong boleh menilai pandangan pihak lain selain daripada laporan/nasihat Jawatankuasa Khas Bebas dalam menentukan tentang “kewujudan berterusan darurat besar”? Adalah agak jelas pada awalnya bahawa, tujuan penubuhan Jawatankuasa Khas Bebas ini adalah bagi mengelak campur tangan kerajaan dalam urusan baginda Yang di-Pertuan Agong berkenaan penerusan darurat. Walauapapun, tidak dapat disyaratkan supaya Yang di-Pertuan Agong tidak boleh mendapatkan pandangan atau pendapat pihak lain.

Ini kerana bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong membuat penilaian yang sewajar dan seadil mungkin. Namun begitu, pandangan atau pendapat pihak lain itu pastinya dari segi undang-undang tidak mengikat Yang di-Pertuan Agong. Seksyen 2 Ordinan Darurat mensyaratkan supaya Yang di-Pertuan Agong mendapatkan nasihat Jawatankuasa Khas Bebas dan tidak dinyatakan sebaliknya atau selainnya.

4. Adakah Yang di-Pertuan Agong terikat dengan nasihat Jawankuasa Khas Bebas? Sekiranya dilihat kepada konsep “nasihat”, ia seolah-olah mensyaratkan supaya Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat Jawatankuasa ini.

Namun, seperti mana dijelaskan di atas, ia tidak menghalang Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan pandangan atau pendapat pihak lain. Pandangan atau pendapat pihak lain itu walaubagaimanapun, dalam konteks undang-undang, tidak dapat mengatasi nasihat Jawatankuasa Khas Bebas ini. Tambahan pula, apabila dilihat kepada keanggotaan Jawatankuasa Khas Bebas ini ia terdiri daripada para pakar dalam pelbagai bidang, termasuk perundangan, keselamatan, kesihatan, pentadbiran negara, pendidikan, agama, ekonomi, dan juga wakil dari parti-parti politik.

Dari segi pandangan masyarakat umum, saya nampak tiada keraguan ketara yang dilahirkan oleh masyarakat awam tentang kewibawaan Jawatankuasa Khas Bebas ini. Sebagai nota kecil, mungkin ramai khalayak yang mahu tahu tentang Laporan Jawatankuasa Khas ini sekiranya ia bukan rahsia besar atau dokumen sulit.

5. Jawatankuasa Khas Bebas ini mempunyai kapasiti seumpama ia diwujudkan oleh suatu Akta Parlimen. Kerana kesan suatu Ordinan adalah ia seumpama Akta Parlimen.
Menurut Perkara 40(3) yang menyatakan, “Undang-Undang Persekutuan boleh membuat peruntukan bagi menghendaki Yang di-Pertuan Agong bertindak selepas berunding dengan atau atas syor mana-mana orang atau kumpulan orang selain Jemaah Menteri pada menjalankan mana-mana fungsinya selain – (a) fungsi yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya; (b) fungsi yang berkenaan dengan perjalanannya peruntukan ada dibuat dalam mana-mana Perkara lain.”

“Undang-Undang Persekutuan” secara ringkasnya ditafsirkan oleh Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang yang Parlimen mempunyai kuasa untuk menggubalnya, dan “apa-apa Akta Parlimen”.

Saya menyatakan Ordinan Darurat mempunyai kuatkuasa seumpama Akta Parlimen atau Undang-Undang Persekutuan kerana Perkara 150(2C) menyatakan “Sesuatu ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah mempunyai kuat kuasa dan kesan yang sama sebagaimana Akta Parlimen”. Fasal (2B) ini adalah suatu Fasal yang memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat undang-undang yang diperlukan bagi tujuan darurat sekiranya kedua-dua Majlis Parlimen tidak bersidang secara serentak.

Justeru, ini mengukuhkan andaian bahawa nasihat yang diberikan oleh Jawatankuasa Khas Bebas ini hendaklah diikuti oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 40, kecuali perkenan mengenai pengisytiharan darurat ini adalah kuasa budi bicara baginda atau terdapat prosedur lain yang menetapkan bagaimana pengisytiharan tersebut perlu dilakukan.

Justeru, frasa “Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati” di bawah Perkara 150(1) hendaklah diberikan perhatian, sama ada ia merupakan satu peruntukan yang menyediakan peruntukan budi bicara atau Perkara 150(1) itu menyediakan tentang bagaimana fungsi Yang di-Pertuan Agong dapat dilaksanakan.

Persoalan ini menjadi terlalu teknikal dan ia boleh dijadikan bahan perbahasan akademik perundangan. Sekiranya kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150(1) itu adalah kuasa budi bicara maka baginda tidak tertakluk kepada nasihat Jawatankuasa Khas Bebas dan boleh membuat keputusan tanpa terikat kepada Laporan atau syor Jawatankuasa Khas Bebas.

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, kalaupun tulisan ini tidak memberikan jawapan kepada sesetengah persoalan, ia telah membuka beberapa perkara untuk diberikan ruang perincian secara akademik.

Sehingga jumpa lagi, jaga diri.

Prof Dr Shamrahayu A Aziz
Pakar Perlembagaan

Artikel ini telah disiarkan lebih awal di Facebook Prof Dr Shamrahayu A Aziz

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button