Berita Utama

PM arah jentera kementerian bantu misi pascabanjir di Johor

MOF segerakan peruntukan tambahan sebanyak RM150 juta

PUTRAJAYA, 24 Syaaban 1444H, Jumaat – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengarahkan semua jentera kementerian membantu misi pascabanjir di Johor dengan RM150 juta peruntukan tambahan telah disegerakan oleh Kementerian Kewangan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara berkenaan dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikannnya hari ini khusus membincangkan usaha untuk membantu mangsa banjir di negeri tersebut.

“Kabinet beri ini (isu banjir) keutamaan dan putuskan semua jentera kementerian libatkan diri dalam program dan projek pascabanjir (di Johor),” kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Anwar berkata, secara keseluruhan, mangsa banjir di Johor yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) mencecah 82,831 orang, dan seramai 26,879 mangsa masih berada di 102 PPS.

Beliau menyeru badan bukan kerajaan (NGO), pihak universiti dan sukarelawan supaya turun dalam tempoh singkat ini untuk membantu keluarga dan mangsa pascabanjir kerana beban sangat besar untuk dikendalikan oleh jentera di Johor.

Anwar berkata, beliau juga telah menghubungi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari supaya turut sama menyalurkan sukarelawan untuk membantu misi pascabanjir di Johor.

“Sekarang pascabanjir perlu sukarelawan ramai dan keperluan asas lain dan kemudahan seperti ‘water jet’. Semua (peralatan ini) akan ditambah oleh kerajaan,” kata beliau.

Semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berharap kerajaan Persekutuan akan menyalurkan peruntukan khas kepada negeri itu bagi membaiki infrastruktur awam yang rosak dan harta benda yang musnah akibat banjir.

Baginda bertitah hingga hari ini, masih terdapat banyak kawasan yang belum pulih sepenuhnya terutama di Batu Pahat, sejak negeri itu dilanda banjir pada 28 Februari lepas.

Sementara itu, Anwar berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah ke Johor bagi mengenal pasti projek tertentu berkaitan banjir.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button