Berita Utama

KPM kecualikan sewa kantin, premis atau ruang sekolah selama 6 bulan

Sambung kontrak sewaan kantin, premis secara automatik untuk 1 tahun

KUALA LUMPUR, 23 Zulkaedah 1442H, Ahad – Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan pengecualian bayaran sewaan kantin dan premis/ruang yang terjejas akibat penutupan sekolah di bawah kementerian itu bagi tempoh enam bulan mulai bulan ini.

Menurut kenyataan KPM, premis atau ruang yang diberikan pengecualian sewa itu termasuk kedai buku, koperasi, kedai dobi atau mesin layan diri yang terjejas ekoran pelaksanaan Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“KPM juga akan memberi penyambungan kontrak sewaan kantin dan premis atau ruang di sekolah bawah KPM secara automatik untuk satu tahun apabila tempoh kontrak asal tamat,” demikian menurut kenyataan itu.

Selain itu, KPM juga akan melanjutkan kontrak perkhidmatan kepada kontraktor Bekalan Makanan Bermasak yang terlibat dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan yang terjejas.

Bagi perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan, pihak kementerian menjelaskan pembayaran kepada kontraktor akan dibuat sepenuhnya seperti yang dinyatakan dalam kontrak, justeru tidak timbul isu kontraktor perlu memotong gaji pekerja mereka.

“KPM yakin inisiatif berkenaan dapat membantu meringankan beban kewangan penyedia perkhidmatan di institusi bawah KPM serta pekerja terlibat yang terkesan oleh pandemik COVID-19,” demikian menurut kenyataan itu.

Sektor pendidikan hanya akan dibuka semula secara berperingkat pada Fasa Tiga dalam PPN yang dijangka bermula September 2021. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button