Berita Utama

LHDN tutup sementara beberapa kaunter di kawasan PKPD mulai esok

Pelanggan perlu mohon janji temu baharu setelah kaunter dibuka semula

KUALA LUMPUR, 23 Zulkaedah 1442H, Ahad – Beberapa kaunter perkhidmatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan ditutup sementara mulai esok, selaras dengan pengumuman perintah itu di beberapa kawasan di seluruh negara.

LHDN dalam satu kenyataan memberitahu, kaunter terlibat adalah semua kaunter Perkhidmatan Percukaian, Kaunter Duti Setem dan Kaunter Bantuan Khas Kerajaan.

“Sehubungan itu semua janji temu pelanggan yang telah diluluskan melalui sistem e-Janji Temu untuk hadir ke kaunter berkenaan adalah dibatalkan dan pelanggan perlu membuat permohonan janji temu yang baharu setelah kaunter dibuka semula,” menurut kenyataan itu hari ini.

LHDN bagaimanapun memaklumkan, perkhidmatan bagi Kaunter Pusat Bayaran akan tetap beroperasi dengan perkhidmatan dan waktu operasi yang terhad iaitu bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari pada Isnin hingga Jumaat.

“Perkhidmatan Kaunter Pusat Bayaran ini meliputi urusan bayaran tunai dan cek bagi Cukai Pegangan; Seniman Kembara; Cukai Keuntungan Harta Tanah Oleh Pemeroleh dan bayaran kompaun serta bayaran menggunakan kad kredit dan kad debit bagi cukai pendapatan dan lain-lain cukai manakala perkhidmatan lain perlu dilaksana secara dalam talian sahaja,” katanya.

LDHN turut berkata sepanjang tempoh PKPD itu, perkhidmatan telefon dan HASiL Live Chat juga akan beroperasi seperti biasa bagi membantu pelanggan khususnya pembayar cukai dalam urusan percukaian mereka.

Waktu operasi bagi Talian Khidmat Percukaian (03-89111000/03-89111100 (Luar Negara) dan Talian Penting BPR (1800-88-2747) adalah pada Isnin hingga Jumaat bermula 9 pagi hingga 4 petang, manakala bagi HASiL Live Chat pula, ia beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat bermula 9 pagi hingga 5 petang. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button