Berita Utama

RM14.73 juta agihan wang zakat asnaf fisabilillah tak digunakan

Bayaran agihan disalur kepada agensi kebajikan, tak ikut maksud asnaf fisabillillah sebenar

KUALA LUMPUR, 24 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Sebanyak RM14.73 juta wang zakat tahun lalu bagi asnaf fisabilillah tidak digunakan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Wilayah (MAIWP) bagi tujuan sepatutnya dan yang memerlukan mengikut keutamaan.

Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 3 memaklumkan, bayaran agihan itu disalurkan kepada agensi kebajikan dan ia tidak mengikut maksud asnaf fisabilillah yang sepatutnya.

“Semakan mendapati perkara itu berlaku disebabkan pentakrifan asnaf fisabilillah terlalu umum dan tidak diperincikan mengikut jenis perbelanjaan yang dibenarkan menggunakan wang zakat.

“Selain itu, tiada fatwa khusus ditetapkan bagi jenis perbelanjaan dan syarat projek pembangunan yang harus dibuat menggunakan wang zakat,” menurut laporan itu yang dikeluarkan hari ini.

Dapatan itu diperoleh hasil pengauditan yang dilakukan pada pembayaran bawah Kumpulan Wang Zakat yang meliputi transaksi Januari hingga Disember 2019 serta tahun sebelumnya selain semakan terhadap 170 baucar bayaran yang menggunakan wang zakat RM206.9 juta.

Selain itu, antara kelemahan yang turut ditemukan termasuk projek pembangunan yang telah dibuat bayaran perkhidmatan perunding sejumlah RM4.72 juta pada 2013 hingga 2017 menggunakan wang zakat, telah ditangguh sehingga tahun ini.

Sehubungan itu, pihak Audit mengesyorkan supaya skim bantuan yang diberikan kepada asnaf fisabilillah hendaklah mengikut keutamaan dan takrifan sebenarnya serta diperincikan mengikut jenis perbelanjaan yang dibenarkan menggunakan wang zakat.

Selain itu, fatwa khusus juga perlu ditetapkan bagi jenis perbelanjaan dan syarat projek pembangunan yang boleh dibuat menggunakan wang zakat secara ‘case by case’ bagi memastikan tiada pembaziran dan sebarang kerugian dan pengurangan kepada wang zakat.

Laporan itu mengesyorkan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemantauan terhadap status projek secara berkala dikuatkuasakan terutamanya melibatkan kepentingan agensi mengemukakan laporan pelaksana, perbelanjaan program dan aktiviti. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button