Berita Utama

MPM hantar memorandum keluhan rakyat kepada Istana Negara

Rakyat mahu istana segera bertindak, gunakan kuasa ikut Perlembagaan

KUALA LUMPUR, 23 Zulkaedah 1442H, Ahad – Majlis Perundingan Melayu (MPM) akan menyerahkan memorandum Rakyat2Rakyat dengan diiringi memorandum Rakyat2Istana kepada Istana Negara dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr Hasan Mad berkata, memorandum Rakyat2Rakyat akan terlebih dahulu diserahkan kepada Amanah Rakyat – pemimpin komuniti yang terpilih – yang kemudiannya akan dikongsikan bersama komunitinya. 

Beliau berkata, memorandum itu akan diiringi Rakyat2Istana yang telah diserahkan ke Istana Negara pada 12 Februari 2021, yang akan diperbaharui.

“MPM bersama NGO sekutunya akan berarak ke istana bagi menyerahkan Memo Rakyat2Istana, serta memohon perkenan Majlis Raja-Raja bersidang segera, seterusnya bertitah melaksanakan kehendak rakyat seperti mana termaktub di dalam memorandum Rakyat2Istana itu,” katanya.

Beliau berkata, kandungan utama memorandum itu antara lainnya memohon perkenan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu memberi mandat kepada Tuanku Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat keselamatan politik.

“Ia termasuk merombak Kabinet, digantikan dengan kerajaan ‘Raja & Rakyat’ untuk mentadbir negara, bagi mengeluarkan negara ini daripada krisis-krisis yang dialami, manakala Parlimen dibenarkan untuk bersidang.

“Diharapkan menjelang pertengahan Julai 2021 Majlis Raja-Raja dapat memenuhi kehendak rakyat ini,” katanya.

Dr Hasan menegaskan, rakyat tidak tidak mampu menunggu sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk menolak pemimpin yang ada. 

“Ramai darinya akan terus menjelma menjelang PRU15 kerana sistem politik yang kita amalkan membolehkan mereka terus ditampilkan.

“Rakyat tidak berhasrat untuk menderhaka kepada istana. Rakyat hendakkan istana segera bertindak, gunakan kuasanya seperti mana diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan untuk membentuk kerajaan ‘Raja & Rakyat’, sebagai Kerajaan Interim,” katanya.

Menjelaskan gerak kerja Kerajaan Interim, beliau berkata, Ahli Parlimen perlu ke Parlimen untuk meneruskan tugas sebagai penggubal undang-undang.

“…Sehinggalah kerajaan ‘Raja & Rakyat’ dapati mereka telah ‘sembuh’ sepenuhnya, diadakan PRU15 dan dikembalikan sistem kepimpinan berparlimen, yang hebat bermaruah dan diberkati,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button