Berita Utama

Operasi musnah kebun haram Musang King dimulakan

Laporan polis dibuat susulan pencerobohan kawasan hutan simpan kekal

RAUB, 23 Zulkaedah 1442H, Ahad – Jabatan Perhutanan Negeri Pahang memulakan operasi memusnahkan kebun haram durian Musang King di dalam Hutan Simpan Batu Talam, bermula semalam.

Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, empat lelaki termasuk dua warga tempatan ditahan dalam Operasi Bersepadu Memusnahkan Kebun Haram di Dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam.

Operasi ini merupakan penguatkuasaan biasa yang dijalankan oleh pihaknya dengan kerjasama Seksyen Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (UPK JPNP), Pejabat Hutan Daerah Raub (PHD Raub), Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) seramai 23 orang. 

“Pasukan rondaan telah ke kawasan operasi iaitu Hutan Simpan Batu Talam. Semasa menjalankan rondaan di dalam Hutan Simpan Batu Talam lebih kurang jam 9.30 pagi pasukan telah terserempak dengan sebuah motorsikal bersama penunggang dan dua buah kenderaan pancuan empat roda bersama dua orang pemandu dan seorang penumpang yang membawa peralatan pertanian.

“Kesemua tiga kenderaan dan empat individu telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Tranum untuk membuat laporan polis dan siasatan lanjut,” katanya seperti dilapor Pahang Media.

Selain itu, pihaknya turut menyita tiga buah kenderaan terlibat dan peralatan yang dibawa individu terbabit ketika ditahan.

“Kenderaan yang disita adalah sebuah motorsikal jenis Honda EX5, dua buah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan Mitsubishi.

“Kita turut menyita peralatan kebun yang dibawa iaitu dua buah mesin penyembur racun dan sebuah tong minyak,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hizamri memaklumkan, pihaknya membuat satu laporan polis berkaitan pencerobohan di kawasan hutan simpan kekal ini.

“Kes ini akan dibuka kertas siasatan dan pegawai penyiasat untuk kes ini telah dilantik,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui yang hadir bersama beberapa pekebun ke kawasan sekatan semalam mendakwa pekebun telah mendapat kebenaran mahkamah sebelum ini untuk masuk ke kebun berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button