Berita Utama

PdPR kekal di negeri dalam Fasa Dua PPN

Takwim Persekolahan KPM tahun 2021 kekal

KUALA LUMPUR, 23 Zulkaedah 1442H, Ahad – Sesi pengajaran dan pembelajaran bagi murid kelas peperiksaan di lima negeri yang beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula esok, akan terus dilaksanakan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sehingga cuti pertengahan penggal.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, cuti pertengahan penggal ini akan bermula pada 16 Julai bagi negeri Kumpulan A dan 17 Julai bagi negeri Kumpulan B.

Menurutnya, pemakluman lanjut mengenai pengoperasian sekolah bagi sesi penggal berikutnya yang dijadualkan pada 25 Julai akan dibuat sekurang-kurangnya seminggu sebelum penggal persekolahan itu bermula.

“Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi Fasa 2 PPN, sekolah dibenarkan beroperasi untuk sesi PdP secara bersemuka terhad kepada murid kelas peperiksaan sahaja.

“Bagaimanapun, KPM ingin memaklumkan bahawa Takwim Persekolahan KPM tahun 2021 adalah kekal seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan (Datuk Dr Radzi Jidin) dalam sidang media pada 6 Jun lepas,” menurut kenyataan itu.

Radzi pada sidang media Jun lepas berkata, PdPR akan dilaksanakan selama 25 hari persekolahan bermula 13 dan 14 Jun mengikut kumpulan negeri masing-masing sehingga cuti pertengahan penggal.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Perlis, Kelantan, Perak, Pahang dan Terengganu beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam PPN mulai esok.

Keputusan itu diambil berdasarkan nilai ambang di negeri-negeri berkenaan yang telah berjaya dicapai iaitu purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button