Berita Utama

Penceroboh haram kebun durian dakwa disekat masuk kebun

ADUN Tras DAP dakwa pihak berkuasa tak patuh perintah mahkamah

RAUB, 23 Zulkaedah 1442H, Ahad – Penceroboh haram kebun durian di Raub semalam membuat laporan polis mendakwa pihak berkuasa mencegah mereka memasuki kebun – didakwa melanggar perintah mahkamah.

Penceroboh mendakwa, sekatan jalan raya telah dibuat pada Sabtu walaupun ada perintah daripada Mahkamah Rayuan yang menyatakan bahawa mereka tidak boleh dihalang memasuki kebun yang terlibat sehingga kes itu diselesaikan.

Save Musang King Alliance (Samka) dalam satu kenyataan mempersoalkan tindakan kerajaan Pahang secara terang-terangan melanggar perintah mahkamah dan menyekat pekebun durian memasuki kebun mereka.

“Ketika pekebun-pekebun tiba di pintu masuk kira-kira jam 9 pagi (semalam), sekatan jalan telah ada dan terdapat beberapa kenderaan milik Jabatan Perhutanan Negeri bersama pasukan Light Strike Force (LSF) polis.

“Ketika ADUN Tras (Chow Yu Hui) dan Presiden Samka (Wilson Chang) meminta penjelasan, pihak polis memaklumkan mereka mengikut arahan. Polis memberitahu mereka merujuk perkara itu kepada seorang wakil kerajaan negeri yang hadir di tempat tersebut,” katanya.

Memetik laporan NST, Samka berkata, wakil itu berpendapat bahawa kawasan penguatkuasaan undang-undang (operasi semalam) tidak berada di dalam kawasan larangan seperti yang dinyatakan dalam perintah mahkamah.

“Individu itu mendakwa mereka ingin memasuki kebun dan menahan penceroboh. Pegawai yang bertugas berkata, dia tidak mempunyai kuasa untuk menghentikan operasi penguatkuasaan dan kerana tidak ada keputusan, pekebun memutuskan untuk membuat laporan polis di ibu pejabat polis Raub,” katanya.

Sementara itu, Chow mendakwa bahawa pihak berkuasa tidak mematuhi perintah mahkamah dan dia akan meminta nasihat pasukan undang-undang untuk langkah selanjutnya.

“Operasi dilakukan pada musim buah durian di mana pihak berkuasa terus mengeksploitasi pekebun. Penguatkuasaan itu didorong oleh kepentingan konsortium yang disokong negeri (Royal Pahang Durian Resources-PKPP Sdn Bhd),” katanya.

Presiden Samka mengatakan, sebelum ini operasi penguatkuasaan dilakukan di kebun durian di Sungai Klau dan kini telah berkembang ke Tras yang mana terdapat enam kebun durian utama.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button