Berita Utama

Perak jangka mampu beralih ke Fasa Tiga PPN lebih cepat

Jangka mampu rekod kadar suntikan antara 25,000 hingga 30,000 sehari

KUALA LUMPUR, 23 Zulkaedah 1442H, Ahad – Perak yang merupakan antara lima negeri bakal beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai esok menjangka akan mampu beralih ke Fasa Tiga dengan lebih pantas, menerusi peningkatan kapasiti vaksinasi COVID-19 negeri.

Menteri Besarnya, Datuk Saarani Mohamad berkata, negeri itu dijangka mampu merekodkan kadar suntikan antara 25,000 hingga 30,000 sehari selepas menerima 688,000 dos vaksin bulan ini.

“Kadar itu mampu dicapai memandangkan Perak kini mempunyai 101 fasiliti pusat pemberian vaksin (PPV) meliputi 31 PPV awam dan hospital kerajaan serta 70 PPV klinik dan hospital swasta,” katanya kepada pemberita pada Program Vaksinasi Perkampungan Orang Asli Kampung Chadak di Tambun di Ipoh hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga bercadang menambah penglibatan lebih banyak hospital dan klinik swasta dalam Program Imunisasi COVID-19 (PICK) di negeri itu.

Semalam, 101 kes baharu dilaporkan di Perak dengan 95 adalah jangkitan tempatan manakala enam lagi jangkitan dari luar Perak, dan setakat ini kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital di negeri itu hanya merekodkan 27 peratus penggunaan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan, Kelantan, Pahang, Terengganu, Perlis, dan Perak beralih ke Fasa Dua PPN bermula esok selepas semua negeri berkenaan berjaya mencapai nilai ambang ditetapkan bagi membenarkan peralihan itu.

Tiga indikator perlu dipatuhi bagi membolehkan peralihan kepada Fasa Dua PPN iaitu purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana dan kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.

Bagi Fasa Tiga PPN, indikator yang perlu dipenuhi termasuk purata kes harian menurun ke paras bawah 2,000 kes, sistem kesihatan awam berada pada tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di ICU ke paras mencukupi dan 40 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Sementara itu Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengingatkan penduduk negeri itu bahawa peralihan ke Fasa Dua PPN bukan tiket untuk orang ramai ‘bebas’ sepenuhnya.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat rumah seorang penduduk di Kampung Kutan Hilir, di Tumpat hari ini beliau berkata, orang ramai perlu terus menyokong usaha kerajaan termasuk mematuhi arahan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang tempoh itu.

Beliau juga berharap lebih banyak program ‘outreach’ (program jangkauan komuniti) vaksinasi dapat dilaksanakan dalam tempoh berkenaan bagi membolehkan penduduk mendapat suntikan vaksin COVID-19. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button