Berita Utama

Pilih pemimpin tak berpandu petunjuk Allah pengkhianatan besar

Bukan alasan lagi konon tak mampu laksana ajaran Islam kerana tidak sedia

BANGI, 23 Zulkaedah 1442H, Ahad – Setiap pemimpin wajib ada secara silih berganti, berpandukan petunjuk Allah SWT daripada Kitab-Nya dan contoh yang ditunjukkan Rasulullah ﷺ.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, al-Quran adalah kitab mukjizat ilmu, petunjuk Allah SWT kepada seluruh manusia pada akhir zaman.

Sementara Rasulullah ﷺ pula, telah menunjukkan pelaksanaannya yang sempurna, bermula daripada urusan diri, keluarga sehinggalah urusan menegakkan negara yang mewajibkan adanya pemimpin.

Katanya, ilmu dalam al-Quran terpelihara dalam penulisan yang tidak putus hingga kini.

“Selepas Rasulullah ﷺ wafat, urusan kepimpinan dilangsungkan pelantikannya berpandukan kepada petunjuk al-Quran dan Sunnah Baginda ﷺ. Sehingga setiap ketua negara yang dilantik berbaiah (memberikan kesetiaan) kepada petunjuk tersebut.

“Maka, memilih dan mengikut pemimpin yang tidak berpandukan petunjuk Allah SWT adalah suatu pengkhianatan yang besar dosanya dan kelak akan ditanggung pada hari akhirat,” katanya dalam kenyataan di akaun Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi menjelaskan bahawa ‘Ulil Amri’ ialah para pemimpin yang memenuhi syarat dan para ilmuwan yang memelihara petunjuk Allah SWT dan cara pelaksanaannya yang adil.

Katanya, Allah SWT tetap mengekalkan Islam terpelihara melalui ilmu dan pelaksanaannya walaupun kuasa Islam sudah dihapuskan, namun ajaran dan ilmunya tidak mampu dipadamkan cahayanya sekali-kali.

Oleh itu tegasnya, bukan alasan lagi, kononnya kini tidak mampu dilaksanakan Islam kerana tiada persediaan dan alasan-alasan lain seperti Islam tidak sesuai pada zaman kini.

“Namun sebaliknya, secara terus-menerus melaksanakan perkara selain daripada ajaran Islam yang dikatakan lebih baik, walaupun apa yang dilakukan itu gagal menyelesaikan masalah di negara penciptanya.

“Inilah alasan mereka yang melaksanakan agenda musuh Islam yang tidak memberikan tempat dan peluang kepada Islam, atau juga alasan mereka yang buta al-Quran dan jahil ilmunya,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu berkata, umat sedang menyaksikan kelemahan dan kegagalan ideologi, teori dan semua ajaran lain daripada Islam.

“Maka, wajib bagi umat Islam kembali semula memimpin umatnya bersama ajaran Islam yang sempurna. Agama yang telah membuktikan kejayaannya pada zaman keemasan, sehingga ia menjadi teladan kepada seluruh manusia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button