Berita Utama

Polis tahan warga asing disyaki bunuh gelandangan

Suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah

KUALA LUMPUR, 23 Zulkaedah 1442H, Ahad – Polis menahan seorang lelaki warga asing disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang gelandangan yang mayatnya ditemukan dalam kawasan semak berhampiran sebuah sekolah di Kota Damansara, Petaling Jaya, semalam.

Lelaki berusia 40 tahun itu ditahan selepas jirannya membuat laporan polis pada kira-kira 2.50 petang berhubung keadaan lelaki berkenaan yang pulang ke rumah dalam keadaan cedera di muka dan badan serta berlumuran darah, disyaki terlibat dengan pergaduhan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, siasatan terhadap lelaki itu membawa kepada penemuan mayat seorang gelandangan dengan kesan tetakan di kepala, dan polis turut menemui sebilah sabit dipercayai senjata yang digunakan dalam kejadian itu.

Beliau berkata, lelaki asing itu mengaku bergaduh dengan seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun yang juga seorang gelandangan yang tinggal di sebuah pondok di kawasan semak itu.

“Hasil semakan mendapati gelandangan itu mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan kes curi kenderaan manakala suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lelaki berkenaan direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat ASP Noridah Md Ayob di talian 019-6979891 atau balai polis berhampiran. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button