Rejim pengganas Israel tembak mati lelaki Palestin
‘Hasan berdiri di atas bumbung kediaman ketika ditembak’

TEBING BARAT, 23 Zulkaedah 1442H, Ahad – Rejim pengganas Israel menembak mati seorang lelaki Palestin berusia 20 tahun dalam pertempuran antara penceroboh haram dengan penduduk Palestin di Tebing Barat.
Kementerian Kesihatan Palestin mengatakan Mohammad Fareed Hasan, yang berusia 20-an, terbunuh selepas ditembak tentera Israel di kampung Qusrah berhampiran bandar Nablus, sementara dua yang lain cedera.
“Hasan berdiri di atas bumbung kediamannya ketika mati ditembak,” lapor agensi berita rasmi Wafa.
Menurut Wafa, warga Palestin di Qusra, menghalang serangan oleh penceroboh Israel di kampung itu.
Kenyataan tentera Israel tidak mengesahkan kematian itu, tetapi mengatakan pihaknya melepaskan tembakan ke arah seorang suspek yang melemparkan ‘objek mencurigakan yang meletup pada tentera’, di tengah rusuhan.
Tentera Israel mendakwa, konfrontasi ganas antara puluhan penduduk Palestin dan penceroboh haram berlaku berdekatan dengan kampung Qusra, selatan Nablus, di mana kedua-dua belah pihak saling melemparkan batu.
Pasukan tentera yang hadir di tempat kejadian beroperasi untuk menjauhkan kedua-dua belah pihak dari kawasan itu dengan menggunakan cara pembubaran rusuhan.
Penempatan Yahudi secara haram di Tebing Barat, wilayah Palestin yang diduduki oleh Israel sejak 1967, telah berkembang pesat dalam beberapa tahun terakhir.
Terdapat kira-kira 475,000 penceroboh Yahudi di Tebing Barat, tinggal bersama sekitar 2.8 juta penduduk Palestin, dalam komuniti yang dianggap sebagai haram oleh sebahagian besar masyarakat antarabangsa.
Kawasan Nablus telah menyaksikan ketegangan yang meningkat dalam beberapa hari kebelakangan ini kerana rakyat Palestin telah melakukan tunjuk perasaan yang kuat terhadap pembinaan sebuah pangkalan haram Yahudi berhampiran kampung Beita.
Sementara itu, di Gaza, jet Israel menyerang sebuah fasiliti pembuatan senjata dan peluncur roket sebagai tindak balas terhadap balon pembakar yang dihantar dari wilayah Palestin ke Israel pada hari Sabtu, kata tentera.
Sumber di Hamas, yang menguasai Gaza, mengesahkan bahawa dua kawasan yang diserang itu adalah milik kumpulan itu.
Seorang lelaki cedera parah, kata pakar perubatan. – Agensi