Syor Agong rujuk Mahkamah Persekutuan jawab persoalan Perlembagaan berbangkit
Mahkamah Persekutuan perlu umum pendapat yang dirujuk dalam mahkamah terbuka bagi mengikat semua pihak

KINI pelbagai persoalan mengenai Perlembagaan Persekutuan telah dibangkitkan khususnya yang mempunyai kaitan dengan Proklamasi Darurat yang sedang berkuatkuasa.
Antara persoalan Perlembagaan yang dibangkitkan ialah:
a) Adakah nasihat Perdana Menteri untuk mendapatkan Proklamasi Darurat sah disebabkan ketika itu Perdana Menteri didakwa tidak mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat?
b) Adakah Proklamasi Darurat perlu mendapat persetujuan Parlimen?;
c) Adakah Yang di-Pertuan Agong khilaf menerima nasihat Perdana Menteri mengisytiharkan Darurat tanpa persetujuan Parlimen?;
d) Adakah Yang di-Pertuan Agong wajib mendapatkan nasihat Perdana Menteri menurut Perkara 40 untuk menamatkan Darurat?;
e) Adakah Jemaah Menteri mempunyai kuasa eksekutif dalam tempoh darurat dan Parlimen boleh bersidang dalam tempoh tersebut?; dan
f) Adakah Ordinan Darurat boleh bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan?
Banyak lagi persoalan lain yang timbul sebenarnya.
Ini adalah antara soalan-soalan yang dikemukakan oleh khalayak awam dan pakar perundangan samada dari kalangan ahli akademik, para peguam, mantan hakim mahupun Peguam Negara sendiri telah pun mengeluarkan pendapat masing-masing berdasarkan pemahaman mereka sendiri.
Saya juga mempunyai pandangan saya dalam perkara di atas dan pandangan saya mungkin sama ataupun berbeza dengan pandangan orang lain samada ahli akademik, peguam lain ataupun mantan hakim.
Hal ini mendatangkan lebih banyak kekeliruan di kalangan orang awam kerana pelbagai pandangan yang berbeza dikeluarkan.
Rakyat kini mahu tahu suatu kedudukan yang tuntas mengenai isu-isu perlembagaan tersebut.
Namun, hakikatnya mereka masih terpengaruh oleh blok pemikiran berdasarkan kepada politik kepartian khususnya.
Bagi mengelakkan kekeliruan yang lebih membarah ini, saya menyarankan agar Yang di-Pertuan Agong merujuk persoalan-persoalan yang dibangkitkan tersebut kepada Mahkamah Persekutuan menurut Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan berbunyi Yang di-Pertuan Agong boleh merujukkan kepada Mahkamah Persekutuan untuk pendapatnya apa-apa soal tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan ini yang telah berbangkit atau yang tampak padanya mungkin berbangkit, dan Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapatnya tentang apa-apa soal yang dirujukkan sedemikian kepadanya itu di dalam mahkamah terbuka.
Dengan rujukan tersebut, Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapat yang dirujuk tersebut dalam mahkamah terbuka dan ia akan menjadi suatu yang mengikat semua pihak.
Dengan cara itu semua perbezaan pandangan dapat dilupuskan dan jawapan tuntas diperolehi dari Mahkamah Persekutuan.
Walaupun sebelum ini rujukan menurut Perkara 130 ini belum pernah dilaporkan ia tidak menghalang Yang di-Pertuan Agong dari membuat rujukan tersebut kerana Perkara 130 ini masih berkuatkuasa.
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia
Datuk Zainul Rijal Abu BakarĀ