Berita Utama

Mesyuarat Khas Parlimen lima hari mulai 26 Julai

Beri penerangan kepada Ahli Parlimen mengenai PPN

BANGI, 24 Zulkaedah 1442H, Isnin – Kerajaan bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, Dewan Negara pula akan bersidang selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Ogos ini.

Jelasnya, mesyuarat itu bertujuan memberi penerangan kepada ahli-ahli Parlimen mengenai Pelan Pemulihan Negara dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid.

“Berdasarkan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, semua proklamasi darurat dan ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong akan dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen.

“Mesyuarat ini akan diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Selain itu katanya, Nota Jemaah Menteri juga telah diedar secara berutus kepada Jemaah Menteri untuk mengambil maklum mengenai perkara berkenaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button