Berita Utama

Pertahan penceroboh haram, ADUN DAP tak malu

Mengapa mereka marah sangat bila penguat kuasa kerajaan masuk tanah kerajaan?

BANGI, 24 Zulkaedah 1442H, Isnin – ADUN Tras DAP, Chow Yu Hui makin melampau menuduh pihak berkuasa tidak mematuhi perintah mahkamah apabila menghalang penceroboh haram memasuki kebun durian di Raub, Pahang.  

Walhal, secara dasarnya, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya menegaskan, tanah yang diceroboh itu adalah milik kerajaan dan para penceroboh telah mengaut hasil jutaan selama berpuluh tahun. 

“Dakwaan ini sungguh ironi dan tidak malu. Mengapakah mereka marah sangat apabila pihak penguatkuasa kerajaan masuk tanah kerajaan?,” soalnya. 

Terdahulu, dalam satu video tular, Chow Yu Hui mendakwa, apa yang dilakukan penguat kuasa terhadap pekebun adalah salah kerana mereka mempunyai perintah mahkamah.

Chow mendakwa, beliau akan meminta nasihat pasukan undang-undang untuk langkah selanjutnya.

“Operasi dilakukan pada musim buah durian di mana pihak berkuasa terus mengeksploitasi pekebun. Penguatkuasaan itu didorong oleh kepentingan konsortium yang disokong negeri (Royal Pahang Durian Resources-PKPP Sdn Bhd),” katanya.

Selain itu, penceroboh mendakwa, mereka memiliki hak untuk memasuki tanah itu kerana mereka telah mendapat penangguhan terhadap pengusiran mereka dari Mahkamah Rayuan.

Ini sementara menunggu rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di Kuantan menolak permohonan untuk semakan kehakiman terhadap notis pengusiran mereka.

Save Musang King Alliance (Samka) mendakwa, walaupun mahkamah memberi penangguhan itu, pekebun durian tidak dibenarkan masuk ke tanah berkenaan.

Walau apa alasan sekalipun, Haji Aminuddin menyokong usaha Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menjalankan operasi penguatkuasaan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub, Pahang.

“Saya menyokong usaha pihak berkuasa ini dan mencadangkan agar pihak berkuasa mengambil kesempatan ini untuk menyiasat dan mengkaji apakah tanah yang diceroboh itu menjadi semakin besar; apakah ada tanah baharu berdekatan yang diceroboh? 

“Ini menjadi tanda tanya masyarakat dalam kes pencerobohan tanah oleh pekebun haram tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan terbaharu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dilaporkan menahan 18 orang disyaki pekebun haram durian Musang King dalam operasi tersebut.

Jabatan itu berkata, sepanjang operasi itu dijalankan, mereka berdepan dengan keadaan provokasi pekebun haram termasuk membuat halangan kepada kenderaan untuk keluar dan masuk ke kawasan berkenaan.

Malah, anggota jabatan tersebut juga dihalang daripada menjalankan tugas.

Kenyataan itu memaklumkan, kesemua 18 pekebun itu dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Raub untuk mendapatkan tahanan reman dan akan disiasat selanjutnya serta diambil tindakan di bawah peruntukan Akta Perhutanan Negara. 

Operasi memusnahkan kebun haram durian Musang King di dalam Hutan Simpan Batu Talam itu bermula kelmarin sehingga 2 Ogos ini melibatkan pelbagai agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kawasan seluas kira-kira 101 hektar itu dilaporkan mempunyai pokok durian Musang King yang mula luruh dan mengeluarkan hasil.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button