Berita Utama

Ramai pesakit kritikal belum dapat masuk ICU

Wad sesak, katil di wad dan ICU kurang: Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA, 24 Zulkaedah 1442H, Isnin – Terdapat ramai pesakit kritikal yang masih berada di Jabatan Kecemasan & Trauma hospital-hospital di Lembah Klang belum dapat ditempatkan di wad. 

Ini berikutan kesesakan dan kekurangan katil di wad mahupun Unit Rawatan Rapi (ICU), kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. 

Begitu juga dengan sejumlah besar pesakit COVID-19 kategori 3 dan kategori 4 yang memerlukan bantuan oksigen yang terpaksa dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah MAEPS, Serdang, katanya. 

“Jumlah pesakit COVID-19 termasuk yang disyaki atau berkemungkinan dijangkiti virus berkenaan masih lagi tinggi dan tidak menunjukan penurunan khususnya di kawasan Lembah Klang.

“Sehingga kini seramai 1,224 pesakit COVID-19 termasuk individu yang disyaki dan berkemungkinan dijangkiti virus itu sudah dimasukan ke dalam ICU.

“Daripada jumlah yang dilaporkan itu lebih separuh atau 567 pesakit berada di Lembah Klang iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya menerusi status Facebook.

Susulan itu, Dr Noor Hisham berkata, beberapa langkah sudah diambil oleh pihak KKM bagi mengatasi masalah berkenaan.

Antaranya ialah meningkatkan kapasiti Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi merawat pesakit COVID-19 kategori 4 dan 5.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, pihak HKL turut membuat penyumberluaran (outsourcing) dengan merujuk pesakit bukan COVID-19 dari hospital berkenaan ke hospital swasta yang berdekatan.

“Kita turut mempertingkatkan kapasiti merawat pesakit COVID-19 di Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) serta menjadikan Hospital Ampang sebagai hospital COVID-19 sepenuhnya seperti Hospital Sungai Buloh mulai 30 Jun lalu,” katanya.

Dr Noor Hisham memaklumkan, sehingga kini terdapat 17 hospital yang merawat pesakit COVID-19 di sekitar Lembah Klang.

Antara hospital itu ialah Hospital Selayang, Hospital Kajang, Hospital Ampang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Hospital Banting, Hospital Shah Alam, Hospital Serdang, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia, Hospital UITM, Hospital Sungai Buloh.

Selain itu, Hospital Pakar Kanak-kanak UKM, Hospital Rehabilitasi Cheras, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Hospital Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Canselor Tunku Mukhriz UKM dan Hospital Putrajaya turut menjadi hospital yang merawat pesakit COVID-19.

“Semoga kita terus diberi kekuatan dan kita doakan wabak ini akan berakhir,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button