Berita Utama

Keputusan Ahmad Jazlan tak jejas kerajaan PN

Kerajaan masih sah, punya bilangan Ahli Parlimen mencukupi

PERMAISURI, 26 Jamadilawal 1442 H, Ahad – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ada sekarang masih sah dan mempunyai bilangan Ahli Parlimen yang mencukupi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau menegaskan walaupun Ahli Parlimen Machang dari Barisan Nasional (BN) Datuk Ahmad Jazlan Yaakob menarik diri daripada menyokong kerajaan PN, kedudukan kerajaan tidak terjejas.

“Saya dapat maklumat penarikan sokongan itu menerusi media semalam. Saya juga tidak faham matlamat atau niat beliau itu macam mana… apapun kerajaan yang ada sekarang ini sah dan mempunyai bilangan (Ahli Parlimen) yang cukup.

“Yang penting ialah kerajaan ini berfungsi dengan baik sejak bermula pada Mac hingga sekarang. Rakyat juga boleh melihat bagaimana kerajaan sedia ada ini berfungsi dengan baik. Jadi kami (kerajaan) akan terus berkhidmat melalui organisasi kerajaan di semua peringkat,” katanya.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan di Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu, di sini, hari ini.

Semalam Ahmad Jazlan mengumumkan keputusan menarik diri daripada menyokong kerajaan PN, selepas meletak jawatan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) awal bulan ini.

Pada masa ini Dewan Rakyat mempunyai 220 Ahli Parlimen berikutan kematian dua Ahli Parlimen iaitu Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) dan Datuk Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button