Berita Utama

Kebun haram: PGA dihantar ke Raub

Berikut kekecohan babit pekebun durian, anggota penguat kuasa

KUALA LUMPUR, 25 Zulkaedah 1442H, Selasa – Polis Diraja Melaysia (PDRM) menggerakkan Pasukan Gerakan Am (PGA) ke Raub, Pahang bagi menjaga ketenteraman awam di daerah berkenaan berikut kekecohan membabitkan pekebun durian dan anggota penguat kuasa, semalam.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata PDRM menyeru kepada semua pihak yang terlibat dalam isu berkenaan agar menggunakan saluran undang-undang yang betul jika terdapat sebarang bantahan terhadap tindakan pihak berkuasa.

Beliau berkata isu mengenai pencerobohan oleh pekebun durian itu adalah di bawah bidang kuasa dan urusan Pejabat Tanah Daerah Raub dan Jabatan Perhutanan Pahang.

“Pihak PGA di sana (Raub) adalah bagi memastikan keselamatan mereka terjaga semasa menjalankan tugas dan PDRM tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba mengganggu-gugat pihak berkuasa yang sedang menjalankan tugas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau Flat Sri Sabah, Cheras yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula pada 3 Julai hingga 16 Julai depan di sini.

Turut hadir Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim.

Mengulas mengenai tindakan beberapa ahli politik yang merentas negeri dan daerah bagi memberikan sokongan terhadap 18 pekebun durian yang ditahan selepas menggangu tugas anggota penguat kuasa, Acryl Sani berkata polis telah membuka kertas siasatan mengenai perkara itu.

Beliau berkata tindakan sewajarkan akan dikenakan jika terbukti berlaku pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) Kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan Negara.

Semalam, Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek Ronnie Liu, Ahli Parlimen Bentong Wong Teck dan Ahli Parlimen Raub Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dilihat hadir ke Mahkamah Raub bagi menyatakan sokongan mereka terhadap 18 pekebun durian yang direman itu.

Penahanan reman terhadap pekebun itu dibuat bagi membolehkan siasatan Jabatan Perhutanan Pahang berhubung dakwaan meneroka Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub untuk menanam Musang King.

Mengenai pelaksanaan PKPD beberapa daerah dan lokaliti di seluruh negara, Acryl Sani berkata pihaknnya akan membawa sebarang isu berkaitan kesejahteraan penduduk terbabit ke sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diadakan setiap minggu.

Beliau berkata PDRM akan sedaya-upaya berusaha meringankan kesulitan yang dihadapi oleh penduduk di kawasan terlibat dengan PKPD.

“Saya mengharapkan agar penduduk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM agar rangkaian jangkitan COVID-19 di kawasan berkenaan dapat diputuskan,” katanya.

Acryl Sani berkata pihaknya juga menggerakkan anggota polis daripada Bukit Aman bagi membantu kontinjen polis negeri yang menghadapi kekurangan anggota berikutan penugasan di kawasan PKPD.

Beliau berkata jumlah anggota yang terlibat bergantung kepada keperluan dan dikaji dari semasa ke semasa.

Pada masa ini, katanya, polis mendapat sokongan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam bagi menjaga keselamatan penduduk di kawasan PKPD.

Sementara itu Acryl Sani turut memberi peringatan kepada parti politik agar tidak mengadakan mesyuarat secara bersemuka ketika ini dan percaya semua pemimpin parti politik memahami SOP yang ditetapkan oleh MKN bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

“Jika pihak polis menerima sebarang maklumat atau laporan mengenai perkara itu, kita pasti akan menyiasat dan membuka kertas siasatan,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan terdapat parti politik mengadakan mesyuarat semalam menjelang sesi sidang khas Parlimen mulai 26 Julai ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button