Berita Utama

Kit Siang biadab persenda kalimah Allah

Ambil tindakan segera ke atas pemimpin veteran DAP

BANGI, 25 Zulkaedah 1442H, Selasa – Tindakan biadab pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang memuat naik tulisan ‘Kerajaan Allah’ dalam Facebook rasminya menimbulkan kemarahan ramai pihak.

Bekas Ahli Jawatankuasa Pusat gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Haji Omar Kassim turut tidak ketinggalan mengecam tindakan Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu yang dilihat mempersenda kalimah Allah.

“Ini adalah pendekatan yang sangat tidak matang, biadab lagi menghina umat Islam oleh pemimpin DAP. Mempermainkan kalimah Allah bukan pada tempatnya adalah satu jenayah.

“Jika YDPA tidak boleh dipermainkan, adakah kalimah Allah SWT boleh dipersendakan sebegini?,” soalnya menerusi hantaran dimuat naik di Facebook hari ini.

Terdahulu, Kit Siang menerusi media sosialnya, menulis; ‘If Allah government is the best form of government in Covid-19 pandemic, why Malaysia is the last in the economist’s global normalcy index losing out to countries none of which can claim to be “Allah’s government”.

Kenyataan itu dipercayai mengkritik tazkirah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam hantaran itu juga, Kit Siang turut memuat naik gambar pemimpin UMNO, PAS serta Bersatu.

Walaupun hantaran itu sudah dipadam, tindakan pemimpin veteran DAP itu dikritik rata-rata pengguna media sosial kerana dianggap kurang ajar dan melebihi batas.

Berang dengan perkara itu, warganet dikenali sebagai Tengku Malek mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan segera ke atas Kit Siang.

“Takkan nak biarkan dengan mudah. Mohon ditengahkan lagi isu ini dan diberi tindakan yang amat sewajarnya. Isu sangat sensitif,” katanya.

Mohamad Akir pula menyifatkan tindakan Kit Siang menunjukkan dasar DAP itu yang anti-Islam.

“Mana ada pemimpin DAP mesra Islam. Hatta Cina muslim pun mereka tak suka.

“Persoalannya kenapa parti-parti Melayu Islam yang lain masih mengharap sokongan DAP untuk mengambil alih memimpin negara ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button