Berita Utama

Segera siasat tindakan Ronnie Liu halang tugas, rentas negeri

Sikap sombong, bongkak ADUN DAP jelas biadab dan melampau

BANGI, 25 Zulkaedah 1442H, Selasa – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Sepang menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew.

Bukan hanya menimbulkan kekecohan dalam isu pencerobohan haram kebun durian Musang King di Raub, pemimpin DAP itu juga jelas cuba menghalang tugas pihak berkuasa dan menyalahgunakan kebenaran merentas negeri.

Yang Dipertua ISMA Sepang, Ustaz Ibrahim M Hasan berkata, sikap Ronnie selaku ‘Yang Berhormat’ mempertikaikan dan cuba menghalang tugas penguat kuasa disifatkan sangat biadab serta melampau.

“Selaku YB, sepatutnya Ronnie memberi kerjasama dan membantu tugas mereka. 

“Ini tidak, bahkan merendahkan penguat kuasa dengan bertanya ‘siapa you?’, mendedahkan sikap sombong dan bongkak beliau lebih berkuasa berbanding penjawat awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Malah, katanya, tindakan Ronnie yang bersungguh membela kumpulan penceroboh tanah haram di Raub juga patut dipersoalkan kerana jelas melanggar undang-undang.

“Adakah YB ingin mengajar rakyat supaya melanggar undang-undang dan memperlekehkan pihak berkuasa?,” soalnya.

Ustaz Ibrahim berkata, kehadiran pemimpin Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan itu juga wajar dipertikaikan.

Sebagai wakil rakyat di Selangor, beliau tertanya-tanya keperluan Ronnie merentas negeri ke Pahang dalam situasi negeri itu sedang dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Kehadiran Ronnie selaku YB di Selangor juga dipertikaikan kerana dalam situasi PKPD ini beliau sepatutnya menjaga rakyat di Sungai Pelek yang susah, dan bukannya membela penceroboh tanah haram.

“Dan bagaimana pula Ronnie boleh merentas negeri ketika PKPD berkuat kuasa di Sungai Pelek?,” katanya.

Beliau berkata, Ronnie sepatutnya menggunakan kebenaran merentas negeri selaku ahli politik untuk membantu rakyat, bukan sebaliknya menyalahgunakan lesen itu bagi tujuan lain.

“Tetapi mengenali Ronnie, tidak hairan beliau bersikap demikian kerana sebelum ini pun beliau pernah terpalit dengan isu menghadiri perhimpunan dengan bekas ahli parti komunis Malaya dan menghina YDP Agong,” katanya.

Terdahulu, seramai 18 penceroboh haram kebun durian Musang King yang ditahan kerana disyaki menceroboh Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub, direman dua hari, bermula semalam.

Mereka ditahan selepas melakukan beberapa provokasi terhadap kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) ketika operasi memusnahkan pokok durian Musang King di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub.

Bagaimanapun proses permohonan reman di pekarangan Mahkamah Raub kecoh selepas berlaku pertengkaran antara pihak berkuasa dan beberapa pemimpin politik.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button