Adakah DAP parti suka kemusnahan alam sekitar?: Pemuda ISMA
Bukan sahaja kebun durian haram, projek tambak laut juga antara ‘perjuangan’ DAP

BANGI, 26 Zulkaedah 1442H, Rabu – Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengecam provokasi dan sikap melulu Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan, Ronnie Liu Tian Khiew yang menghalang polis melaksanakan tugas ketika proses permohonan reman 18 pekebun durian haram Musang King pada Isnin.
Ketua Hubungan Luar Pemuda ISMA, Luqman Abd Hamid berkata, tindakan Ronnie menimbulkan persoalan sama ada DAP adalah sebuah parti yang sememangnya tidak telus dan suka akan kemusnahan alam sekitar.
Beliau berkata, Pemuda ISMA mengikuti secara rapat perkembangan kes pekebun haram di Raub dan menyokong penuh usaha pihak kerajaan negeri Pahang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menegakkan undang-undang.
“Isu ini adalah sebuah bangkai gajah yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa, didorong oleh peniaga yang tamak serta dilindungi ahli politik tertentu.
“Penceroboh hutan ini seharusnya dihukum berat. Jika ditelusuri, ia adalah berskala besar dan terancang. Diberitakan bahawa pencerobohan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam dianggarkan seluas 250 ekar bersamaan dengan 138 buah padang bola sepak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Luqman berkata, Pemuda ISMA juga ingin menarik perhatian pihak berkuasa agar terus tegas menjalankan amanah yang telah diberikan.
“Pemuda ISMA bersama rakyat jelata memuji sikap anggota PDRM yang tegas serta profesional yang telah ditunjukkan menerusi video viral anggota berkenaan. Syabas diucapkan.
“Pemuda ISMA menyeru supaya rakyat bersatu dan ingin mengingatkan bangsa Cina bahawa isu ini bukanlah isu perkauman. Pihak berkuasa telah menjalankan tanggungjawab mereka di beberapa lokasi yang lain seperti Sungai Ichat (isu pekebun India), Lembah Bertam (pekebun Cina) dan Kenchau, Lipis (pelombong emas Melayu).
“Mereka telah pun diambil tindakan seperti mana pekebun di Raub,” katanya.
Selain isu kebun durian haram, Luqman berkata, Pemuda ISMA turut memantau rapat perkembangan Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) yang dahulunya dikenali sebagai Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) seluas 4,500 ekar yang dijangka memusnahkan biodiversiti perikanan seterusnya memberi impak terhadap nelayan di Pulau Pinang.
Pelaksanaan projek itu hanya menjelaskan bahawa seruan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bahawa DAP adalah sebuah parti yang mempunyai CAT (competency, accountability, transparency) adalah sebuah hikayat dongeng yang diceritakan kepada rakyat supaya terpesona akan sebuah keindahan yang palsu.
“Pemuda ISMA ingin menegaskan bahawa negara ini mempunyai kedaulatan undang undang, kepada pihak yang ingin memanipulasi undang undang dan tidak berintegriti, anda tidak mempunyai tempat di negara ini,” katanya.
Terdahulu, kerajaan negeri Pulau Pinang tetap dengan pendirian untuk meneruskan PSI meskipun terdapat banyak bantahan daripada pelbagai pihak supaya ia dibatalkan.
Di bawah projek PSI, kerajaan negeri bercadang untuk merebut kembali kira-kira 1,821 hektar laut untuk membangunkan tiga pulau di selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke arah timur sekitar Permatang Damar Laut untuk membuat bank darat yang akan digunakan untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).