Berita Utama

COVID-19: Hospital Sultan Abdul Halim tak tutup sepenuhnya

30 kakitangan positif, beberapa wad ditutup sementara untuk proses sanitasi

ALOR SETAR, 26 Zulkaedah 1442H, Rabu – Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman mengesahkan seramai 30 kakitangan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani didapati positif COVID-19.

Beliau berkata, mereka yang positif terdiri daripada doktor, jururawat dan pekerja bahagian pembersihan hospital berkenaan.

Katanya, ia dipercayai membabitkan penularan varian Delta dan Beta.

Dalam pada itu, beliau menafikan dakwaan bahawa hospital itu ditutup selepas 100 kakitangannya dijangkiti COVID-19 varian Delta yang dikesan di India dan varian Beta yang dikesan di Afrika Selatan.

Mesej itu turut menyatakan terdapat arahan dari Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) agar hospital hanya mengambil dan merawat kes yang benar-benar kecemasan sahaja berikutan penularan virus varian berkenaan.

Dr Mohd Hayati berkata, penutupan hanya membabitkan wad tertentu untuk proses sanitasi, manakala bahagian perkhidmatan kecemasan terus beroperasi seperti biasa.

“Hospital ini tidak ditutup dan tidak berlaku penutupan semua bahagian. Hanya wad tertentu sahaja yang ditutup untuk proses sanitasi dengan bahagian perkhidmatan kecemasan terus beroperasi seperti biasa.

“Bagaimanapun, mereka yang perlu melakukan rawatan susulan di klinik pakar, tarikh temu janji dan jadual akan disusun semula,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Bagi meredakan keadaan, Dr Mohd Hayati meminta orang ramai supaya tidak resah dengan kejadian ini kerana ia sedang dikendalikan JKN dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Tegasnya, orang ramai perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta tidak keluar rumah jika tiada keperluan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button